
KAJANG, 17 Julai — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan ayam yang dijual di sebuah pasar raya di Kajang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah.
- KPDN bersama JAIS menjalankan siasatan dan pemeriksaan susulan aduan tular di media sosial.
- JAIS mengarahkan premis menambah baik pengurusan produk halal dan aspek dokumentasi.
- Dokumen pembekalan ayam serta pengesahan halal diambil untuk tujuan rekod.
- KPDN akan terus memantau dan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menjaga kepentingan pengguna.
KPDN dalam kenyataan memaklumkan pengesahan itu dibuat selepas menjalankan siasatan dan pemeriksaan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) susulan aduan yang tular di media sosial.
“Hasil pemeriksaan mendapati ayam yang dijual diperoleh daripada pembekal yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah dan berkuat kuasa dan tiada tindakan kes diambil oleh KPDN dan JAIS,” menurut hantaran itu di Facebook hari ini.
Bagaimanapun, JAIS mengarahkan pihak premis supaya menambah baik pengurusan produk halal serta aspek dokumentasi.
Dokumen berkaitan pembekalan ayam serta pengesahan halal turut diambil bagi tujuan rekod.
“KPDN akan terus menjalankan pemantauan dan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.