Iran kecam serangan AS ke atas fasiliti awam, infrastruktur


TEHRAN, 17 Julai – Iran mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan fasiliti awam dan infrastruktur negara tersebut dalam serangan AS dalam tempoh beberapa hari terbaharu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar Iran menyifatkan serangan sebagai pelanggaran serius Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
  • Serangan menyasarkan fasiliti bukan ketenteraan termasuk kediaman, menara komunikasi, jambatan di Bandar Abbas, Sirik dan Pulau Qeshm, mengakibatkan korban dan gangguan elektrik.
  • Rundingan AS dan Iran dilaporkan masih berjalan namun AS terus melancarkan serangan; CENTCOM mengesahkan serangan terbaru.

Kementerian Luar Iran menerusi kenyataan menegaskan, serangan tersebut membuktikan sebagai satu pelanggaran serius terhadap piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan prinsip-prinsip asas undang-undang antarabangsa.

“Kementerian Luar Iran mengecam serangan-serangan AS ke atas negara ini dalam beberapa hari ini terutamanya yang menyasarkan fasiliti bukan milik pihak ketenteraan,” menurut kenyataan tersebut.

Media tempatan melaporkan pada Khamis bahawa Washington melancarkan serangan yang menyasarkan beberapa lokasi kediaman, menara komunikasi serta jambatan yang menghubungkan banyak lokasi seperti Bandar Abbas, pelabuhan Sirik dan Pulau Qeshm.

Selain itu, serangan yang menyasarkan kawasan kediaman di Bandar Abbas turut mengakibatkan sejumlah nyawa terkorban dan bekalan elektrik juga terputus di beberapa lokasi.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt menerusi sidang media pada hari sama memaklumkan rundingan antara AS dan Iran masih berlangsung meskipun ketika konflik baharu tercetus.

“Presiden Donald Trump tidak akan membenarkan mereka melepaskan sebarang serangan ke atas semua kapal di Selat Hormuz tanpa menanggung akibatnya,” katanya.

Komando Pusat AS (CENTCOM) menerusi kenyataan berasingan mengesahkan AS melancarkan satu lagi serangan menyasarkan ke atas Iran pada Khamis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.