
PETALING JAYA, 17 Julai – MBSB Bank Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kemudahan pembiayaan mencecah RM1 bilion bertujuan mempercepat pertumbuhan ekonomi di seluruh Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
- Kerjasama diyakini merangsang lebih banyak peluang perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
- MBSB bersama Santander menyediakan platform bantu syarikat berorientasi eksport memperluas pasaran antarabangsa dan akses pembiayaan.
- Kerjasama strategik memperkukuh sektor pertumbuhan NCER dan membina ekosistem sokongan untuk menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan ekonomi.
Kerjasama berkenaan diyakini berupaya merangsang lebih banyak peluang perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank Rafe Haneef berkata kerjasama itu juga bagi menarik syarikat-syarikat berpotensi tinggi terutamanya PKS yang berorientasikan eksport memperoleh pembiayaan.
“MBSB Bank turut bekerjasama dengan Santander Group iaitu sebuah kumpulan perbankan dari Eropah bagi menyediakan platform untuk membantu syarikat-syarikat mengembangkan aktiviti eksport ke pasaran antarabangsa dan memperkukuh usaha memperluas pembiayaan di NCER,”katanya selepas Majlis Menandatangani MoU antara MBSB Bank dan NCER.
Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata kerjasama strategik itu memperkukuh sektor-sektor pertumbuhan strategik NCER dalam membina ekosistem sokongan yang diperlukan untuk menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan ekonomi.
NCIA adalah sebuah badan berkanun yang merancang dan memacu pertumbuhan ekonomi di NCER melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
NCER pula memperkukuh kedudukan sebagai satu daripada wilayah ekonomi yang paling pesat berkembang di Malaysia dengan menarik pelaburan domestik dan asing yang besar dalam bidang E&E, pembuatan termaju, logistik, perniagaan tani, ekonomi digital serta industri bernilai tinggi yang lain.