12 pemandu disahkan positif dadah dalam operasi JPJ Pulau Pinang

Foto BERNAMA

BUTTERWORTH, 17 Julai – Seramai 12 daripada 121 pemandu yang disaring menerusi Op Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan di Pulau Pinang sejak 1 Julai hingga semalam didapati positif dadah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dadah paling banyak dikesan adalah kratom, methamphetamine dan ganja; pemandu kata mengambil untuk mendapatkan lebih tenaga semasa memandu.
  • JPJ tegas tidak akan berkompromi terhadap pemandu memandu di bawah pengaruh dadah; lesen boleh digantung atau dibatalkan jika disabitkan.
  • Operasi dijalankan bersama AADK, JSPT dan PLUS di lokasi strategik; majikan mesti memastikan pemandu bebas dadah atau berdepan tindakan mengikut undang-undang.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang Zulkifly Ismail berkata alasan paling kerap diberi pemandu yang mengambil dadah ialah mahu mendapatkan lebih tenaga ketika memandu.

“Dadah yang paling banyak dikesan adalah kratom atau air ketum, selain methamphetamine dan ganja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media operasi itu di Plaza Tol Sungai Dua arah selatan, di sini, pada Khamis.

Operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama
AADK, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta PLUS Malaysia Berhad di lokasi strategik termasuk plaza tol, stesen penguat kuasa dan terminal bas.

Kesemua 12 lelaki berkenaan kini ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, lesen memandu suspek boleh digantung atau dibatalkan sekiranya disabitkan kesalahan.

“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh dadah kerana tindakan tersebut boleh mengorbankan nyawa orang ramai,” katanya.

Beliau turut mengingatkan majikan supaya memastikan pemandu yang diupah bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Syarikat yang gagal mematuhi syarat pelesenan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, termasuk penggantungan lesen pengendali,” tegas beliau.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.