
LANGKAWI, 17 Julai – Polis sedang menyiasat dakwaan pengabaian kanak-kanak di sebuah tadika di Langkawi susulan laporan yang dibuat selepas kes itu tular di media sosial.
- Laporan dibuat oleh seorang bekas guru yang diberhentikan kerja di tadika berkenaan pada Rabu lalu.
- Dakwaan termasuk kanak-kanak tidur atas lantai tanpa tilam dan beberapa pernah dikunci di dalam tandas.
- Siasatan fokus pada rakaman CCTV dan keterangan saksi; tiada laporan kecederaan daripada ibu bapa, disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata, laporan itu dibuat oleh seorang bekas guru yang telah diberhentikan kerja di tadika berkenaan pada Rabu lalu.
Beliau berkata, antara dakwaan yang dikemukakan ialah kanak-kanak dibiarkan tidur di atas lantai tanpa tilam, selain beberapa daripada mereka didakwa pernah dikunci di dalam tandas.
Setakat ini, katanya, siasatan mendapati tiada ibu bapa tampil memaklumkan anak mereka mengalami kecederaan atau sebarang kesan fizikal.
Siasatan kini tertumpu kepada kesahihan laporan itu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta keterangan saksi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.