
ISKANDAR PUTERI, 17 Julai – Seorang remaja perempuan warga Rohingya berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan membunuh bayi yang baru dilahirkannya sebelum membuang janin itu dari tingkat dua sebuah hotel di Bukit Indah, awal bulan ini.
- Polis menemui janin dibungkus beg plastik di lorong Taman Nusa Idaman pada 5 Julai, laporan diterima pukul 2.39 pagi.
- Suspek lelaki tempatan ditahan di lokasi, remaja perempuan ditahan di hotel; siasatan menyatakan janin hasil hubungan kedua-dua suspek.
- Perincian: bayi dilahirkan di tandas hotel, dimasukkan ke beg plastik dan dibuang dari tingkap tingkat dua; remaja didakwa mengikut Seksyen 302.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M. Kumarasan berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan janin yang dibungkus dalam beg plastik di sebuah lorong di Taman Nusa Idaman, Bukit Indah pada pukul 2.39 pagi, 5 Julai lalu.
Beliau berkata, susulan laporan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di lokasi penemuan janin dan remaja terbabit di sebuah hotel di kawasan Bukit Indah pada kira-kira pukul 4 pagi hari yang sama.
Menurut beliau, siasatan mendapati janin yang ditemui merupakan anak kepada suspek hasil hubungan dengan bekas teman lelakinya.
“Suspek dipercayai melahirkan bayi itu di dalam tandas bilik hotel sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik berwarna hitam dan membuangnya melalui tingkap bilik di tingkat dua hotel ke lorong di bawah bangunan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, manakala remaja perempuan itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati negatif dadah.
Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor sebelum remaja berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala suspek lelaki dijadikan saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 September ini.