
BALIK PULAU, 17 Julai — Penemuan sebuah motosikal dan topi keledar di kawasan dusun durian di Lebuh Bukit Jambul menjadi petunjuk baharu dalam usaha mengesan Shahir Zainul, 45, yang dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu.
- Operasi SAR dibantu anak lelaki mangsa berusia 15 tahun.
- Operasi melibatkan 33 anggota bomba dan 30 anggota polis.
- Mangsa keluar rumah pada 10 Jun selepas perselisihan dengan ibu; laporan polis dibuat 12 Jun dan dipercayai memasuki kawasan hutan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan hari ini turut dibantu anak lelaki mangsa berusia 15 tahun.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata operasi pencarian tertumpu di kawasan dusun durian seluas 1.21 hektar susulan penemuan motosikal dan topi keledar mangsa.
“Kita tahu ini lokasi mangsa hilang. Pihak polis jumpa motosikal dan topi keledar, jadi kita akan bermula dari sini sebagai petunjuk untuk masuk ke dalam kawasan itu. Anak mangsa akan menjadi penunjuk arah kepada pasukan kita,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi di Balik Pulau, hari ini.
Operasi itu melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Jalan Perak dan Bayan Baru dengan kekuatan 33 anggota bomba serta dibantu 30 anggota polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata operasi dijalankan susulan laporan kehilangan yang dibuat ibu mangsa pada 12 Jun lalu.
Beliau berkata, mangsa keluar dari rumahnya di Bayan Baru kira-kira pukul 5 pagi pada 10 Jun.
“Mangsa keluar dari rumah selepas berlaku perselisihan faham dengan ibunya kerana meminta wang. Sejak itu mangsa tidak pulang ke rumah dan ibunya membuat laporan polis. Kita percaya mangsa mungkin memasuki kawasan hutan,” katanya.
Beliau berkata operasi SAR diteruskan bagi mengesan mangsa berdasarkan petunjuk yang ditemukan di lokasi berkenaan.