Undi 18 menuntut hidup lebih sejahtera

Foto fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Anak muda mahukan pekerjaan yang benar-benar meningkatkan taraf hidup, bukan kerja bergaji rendah tanpa laluan kemajuan.
  • Mereka menuntut upah setimpal, perlindungan sosial, masa kerja manusiawi, latihan berbayar dan peluang kemahiran serta kerjaya jelas.
  • Janji politik mesti disertai tempoh pelaksanaan, jumlah penerima, sumber kewangan dan ukuran kejayaan yang boleh dinilai.
  • Kerajaan, majikan dan masyarakat perlu bekerjasama sediakan pelaburan bergaji munasabah, perumahan mampu milik, pengangkutan dan laporan pencapaian berkala.

Hampir 1.3 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun membentuk 47.6 peratus daripada keseluruhan pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada 11 Julai lalu. Pada masa sama, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan 291,600 belia berusia 15 hingga 24 tahun menganggur pada Mei 2026.

Angka ini membawa mesej yang jelas. Suara anak muda semakin bermakna, manakala kebimbangan mereka juga semakin nyata. Mereka datang ke peti undi bukan untuk diraikan sebagai segmen baharu, tetapi untuk mencari masa depan yang lebih baik dan sejahtera.

Selepas PRN Johor, perhatian kini beralih kepada PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos. Dalam suasana pilihan raya, parti politik berlumba-lumba menawarkan pekerjaan, latihan dan bantuan kepada anak muda.

Namun, memahami anak muda tidak boleh terhenti pada slogan penciptaan pekerjaan. Persoalan sebenar bukan semata-mata berapa banyak pekerjaan diwujudkan, tetapi sama ada pekerjaan itu mampu mengubah kehidupan mereka secara nyata.

Ramai anak muda tidak terlalu memikirkan gelaran jawatan pekerjaan yang bakal disandang. Mereka lebih memikirkan apa yang boleh dilakukan dengan pendapatan tersebut.

Adakah gaji yang diterima mencukupi untuk membayar sewa, bergerak ke tempat kerja, membantu ibu bapa, menyelesaikan pinjaman pendidikan, mendapatkan rawatan kesihatan dan menyimpan wang bagi menghadapi kecemasan? Mereka bukan sekadar mahu bekerja. Mereka mahu pekerjaan yang mampu meningkatkan taraf hidup serta ekonomi keluarga.

Sebab itu, tawaran kerja bergaji rendah tanpa laluan kemajuan bukan lagi penyelesaian. Memiliki pekerjaan tetapi masih terpaksa melakukan kerja tambahan untuk menampung keperluan asas bukanlah kemajuan yang diimpikan.

Anak muda mahukan upah yang setimpal, perlindungan sosial, masa kerja yang manusiawi, peluang meningkatkan kemahiran dan laluan kerjaya yang jelas. Mereka mahu usaha hari ini membawa perubahan yang positif pada masa hadapan.

Pandangan ini penting dalam memahami kecenderungan pengundi Undi18. Mereka bukan lagi kelompok yang mudah dipengaruhi kandungan tular. Anak muda di bandar berdepan dengan kos sewa dan pengangkutan yang tinggi. Anak muda di luar bandar pula memikirkan kekurangan peluang pekerjaan berhampiran tempat tinggal.

Ada yang memiliki ijazah, mengikuti pendidikan teknikal, bekerja sendiri atau bergantung pada ekonomi gig. Keperluan mereka berbeza, tetapi harapannya sama, iaitu kehidupan yang lebih stabil.

Kempen pilihan raya yang hanya menampilkan wajah muda dan menggunakan bahasa santai mungkin mendapat perhatian, tetapi belum tentu mendapat kepercayaan. Kepercayaan lahir apabila calon menerangkan bagaimana manifesto mereka dapat meningkatkan pendapatan, mengurangkan perbelanjaan harian dan membuka lebih banyak peluang.

Pengundi muda mahu mengetahui tempoh pelaksanaan, jumlah penerima, sumber kewangan serta ukuran kejayaan. Mereka berani bertanya sama ada janji itu realistik atau sekadar sedap didengar.

Bagi kerajaan negeri, agenda anak muda boleh diterjemahkan dengan menarik pelaburan yang menawarkan gaji munasabah, memudahkan urusan perniagaan, menghidupkan ekonomi setempat dan memperluas rangkaian pengangkutan awam.

Kerajaan juga boleh bekerjasama dengan industri bagi menyediakan latihan berbayar, program perantisan dan peluang pekerjaan berhampiran tempat tinggal. Perumahan mampu milik pula perlu mengambil kira lokasi, kemudahan pengangkutan dan tahap pendapatan kerana rumah yang murah tetapi jauh dari tempat kerja tetap menjadi beban.

Kerajaan perlu memastikan pertumbuhan ekonomi turut dinikmati oleh pekerja muda. Angka pelaburan dan jumlah pekerjaan sahaja tidak mencukupi jika kadar kenaikan gaji bergerak lebih perlahan daripada kos sara hidup. Dasar berkaitan upah, perlindungan pekerja gig, latihan semula dan keselamatan sosial perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan seiring.

Anak muda mahu melihat hubungan yang jelas antara kemajuan negara dengan baki wang dalam akaun mereka selepas semua bil dijelaskan.

Majikan juga mempunyai tanggungjawab. Pekerja muda bukan tidak setia apabila mencari pendapatan dan peluang yang lebih baik. Kesetiaan tidak lahir daripada ceramah motivasi, sebaliknya melalui layanan yang adil, gaji yang setimpal, ruang untuk belajar dan prospek kemajuan kerjaya yang jelas.

Jika sektor awam dan swasta mahu mengekalkan bakat terbaik, pekerjaan perlu menjadi ruang untuk membina kehidupan, bukan sekadar tempat menukar masa dengan upah.

Pada masa sama, anak muda perlu menggunakan kuasa mengundi dengan matang. Penilaian terhadap calon tidak boleh dibuat berdasarkan ucapan, retorik atau luahan kemarahan semata-mata. Mereka perlu membandingkan manifesto, menyemak rekod calon, membezakan bidang kuasa kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan serta menolak penyebaran maklumat palsu.

Undi yang bijak bukanlah undi yang mengikut suara paling lantang, tetapi pilihan yang dibuat selepas menilai siapa yang benar-benar mampu menyelesaikan masalah sebenar.

Masyarakat juga perlu mewujudkan ruang perbincangan tanpa memperlekeh pandangan anak muda. Perbezaan pilihan politik tidak seharusnya merosakkan hubungan. Sebaliknya, perbincangan mengenai kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kemudahan setempat mampu mendidik semua generasi melihat pilihan raya sebagai proses memilih penyelesaian, bukannya medan permusuhan.

Kerajaan wajar menetapkan dan menerbitkan sasaran yang boleh diukur, termasuk pertumbuhan gaji belia, jumlah pekerjaan berkualiti, peluang latihan berbayar serta akses kepada perumahan mampu milik. Kemajuan terhadap sasaran tersebut perlu dilaporkan secara berkala supaya rakyat dapat menilai pencapaiannya, bukan sekadar menunggu pilihan raya yang berikutnya.

Tanggungjawab pengundi tidak tamat selepas mencelup jari, manakala tanggungjawab pemimpin pula tidak berakhir selepas memenangi sesuatu kerusi.

Undi18 memberikan anak muda hak untuk memilih, tetapi masyarakat perlu memberikan mereka sebab untuk terus percaya kepada demokrasi. Kertas undi mereka bukan sekadar permintaan untuk dihiburkan dengan slogan.

Sebaliknya, kertas undi itu merupakan tuntutan untuk hidup bermaruah, membantu keluarga dan membina masa depan tanpa dibelenggu ketidakpastian.

Pihak yang memahami tuntutan ini akan memperoleh kepercayaan mereka, manakala pihak yang sekadar melihat mereka sebagai angka mungkin mendapati generasi ini tidak takut mengubah pilihan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Mohamad Amirul Mohd Adnan Ali
Ketua Seksyen Komunikasi Korporat
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK)
Universiti Putra Malaysia (UPM)
E-mel: m.amirul@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.