
SAUDARA PENGARANG
- Nilai menjadi kompas organisasi; nilai mesti menjadi panduan tindakan harian, bukan sekadar dokumen atau slogan.
- Budaya organisasi mencerminkan nilai; budaya positif melahirkan komitmen, tanggungjawab dan kerjasama, budaya toksik merosakkan prestasi.
- Penghargaan adil dan telus meningkatkan motivasi serta prestasi; pengiktirafan berasaskan merit mengukuh keyakinan pekerja.
- Kecerdasan budaya (CQ) dan pemimpin inklusif membina persefahaman, mengurus konflik dan memberi peluang adil untuk berkembang.
Dalam era globalisasi dan transformasi digital yang semakin pesat, organisasi tidak lagi beroperasi dalam persekitaran yang seragam. Kepelbagaian budaya, generasi, latar belakang pendidikan dan pengalaman kerja telah menjadi sebahagian daripada realiti organisasi masa kini.
Dalam keadaan ini, kejayaan sesebuah organisasi tidak lagi bergantung semata-mata kepada kekuatan kewangan, kecanggihan teknologi atau strategi perniagaan, tetapi juga kepada keupayaannya membentuk budaya kerja yang sihat, berteraskan nilai serta menghargai keterangkuman.
Kajian McKinsey & Company menerusi laporan Diversity Wins mendapati bahawa organisasi yang mempunyai kepelbagaian etnik dan budaya yang tinggi dalam kalangan kepimpinan mempunyai kemungkinan 36 peratus lebih tinggi untuk mencapai prestasi kewangan melebihi purata industri.
Sementara itu, kajian Deloitte menunjukkan bahawa organisasi yang mengamalkan budaya kerja inklusif mempunyai pekerja yang enam kali lebih inovatif dan lapan kali lebih berupaya mencapai prestasi tinggi berbanding organisasi yang kurang memberi perhatian kepada aspek keterangkuman.
Dapatan ini membuktikan bahawa kepelbagaian yang diurus dengan baik mampu menjadi pemangkin kepada kecemerlangan organisasi.
Walau bagaimanapun, kepelbagaian sahaja tidak mencukupi. Organisasi memerlukan nilai yang jelas sebagai panduan bersama serta keupayaan untuk memahami dan menghormati perbezaan budaya.
Dalam konteks ini, kecerdasan budaya (Cultural Intelligence, CQ) menjadi antara elemen penting yang saling melengkapi dengan nilai organisasi dalam membentuk organisasi yang mampan dan berdaya saing.
Kompas yang Menentukan Arah
Setiap organisasi mempunyai visi dan misi yang ingin dicapai. Namun, visi dan misi sahaja tidak memadai sekiranya organisasi tidak mempunyai nilai yang menjadi panduan kepada setiap tindakan dan keputusan. Nilai merupakan prinsip asas yang membentuk identiti organisasi serta mempengaruhi cara warga kerja berfikir, bertindak dan berinteraksi.
Justeru, ungkapan bahawa “organisasi tanpa nilai ibarat kapal tanpa kompas” amat bertepatan. Sebuah kapal mungkin dilengkapi teknologi yang canggih dan tenaga kerja yang berkemahiran, tetapi tanpa kompas, kapal tersebut berisiko tersasar daripada destinasi yang dituju.
Begitu juga organisasi yang memiliki pelbagai sumber tetapi gagal menjadikan nilai sebagai asas dalam setiap tindakan.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil.”
Ayat ini menegaskan bahawa amanah dan keadilan merupakan asas penting dalam setiap bentuk kepimpinan dan pengurusan organisasi.
Budaya Organisasi: Cerminan Nilai dan Identiti
Budaya organisasi merujuk kepada nilai, kepercayaan, norma dan amalan yang dikongsi oleh warga organisasi. Budaya ini menentukan cara sesuatu pekerjaan dilaksanakan, cara keputusan dibuat dan cara hubungan dibina dalam organisasi.
Budaya organisasi yang positif mampu melahirkan warga kerja yang mempunyai rasa tanggungjawab, komitmen dan semangat kerjasama yang tinggi. Sebaliknya, budaya yang toksik dan lemah boleh mengundang konflik, ketidakpuasan kerja serta menjejaskan prestasi organisasi.
Walaupun banyak organisasi mempunyai nilai yang didokumentasikan secara rasmi, cabaran sebenar adalah memastikan nilai tersebut diterjemahkan dalam tindakan harian. Integriti, profesionalisme dan keadilan perlu dibuktikan melalui amalan, bukan sekadar slogan.
Cabaran Penghargaan Tidak Saksama
Salah satu retakan utama yang sering merosakkan budaya organisasi ialah penghargaan yang tidak saksama. Pekerja pada hari ini bukan sekadar mendambakan ganjaran kewangan, malah mereka memerlukan pengiktirafan yang adil terhadap usaha, idea dan sumbangan yang telah dicurahkan.
Apabila penghargaan diberikan secara tidak telus atau dilihat memihak kepada kelompok tertentu, kepercayaan terhadap organisasi akan mula terhakis. Pekerja yang merasakan usaha mereka tidak dihargai cenderung mengalami penurunan motivasi, kurang komited terhadap tugas dan akhirnya memberi kesan kepada prestasi organisasi secara keseluruhan.
Kajian Gallup menunjukkan bahawa pekerja yang menerima pengiktirafan secara konsisten mempunyai tahap penglibatan kerja yang lebih tinggi berbanding mereka yang merasakan sumbangan mereka tidak dihargai.
Oleh itu, penghargaan yang adil dan berasaskan merit merupakan elemen penting dalam membina budaya organisasi yang sihat dan berprestasi tinggi.
Memahami yang Berbeza, Menghormati yang Pelbagai
Dalam organisasi yang semakin pelbagai, keupayaan memahami perbezaan budaya menjadi satu keperluan. Di sinilah konsep kecerdasan budaya (CQ) memainkan peranan penting.
CQ merujuk kepada keupayaan seseorang untuk memahami, menyesuaikan diri dan berinteraksi secara berkesan dengan individu daripada latar belakang budaya yang berbeza. Individu yang mempunyai tahap CQ yang tinggi lebih mudah membina hubungan kerja yang baik, mengurangkan salah faham komunikasi dan menyesuaikan diri dalam persekitaran yang pelbagai.
Dalam era globalisasi, CQ bukan lagi sekadar satu kelebihan, sebaliknya telah menjadi kompetensi penting yang perlu dimiliki oleh pemimpin dan warga organisasi.
Pemimpin sebagai Jambatan Budaya
Peranan pemimpin amat penting dalam membentuk budaya organisasi yang berteraskan nilai dan menghargai kepelbagaian. Pemimpin bukan sahaja bertanggungjawab menentukan hala tuju organisasi, malah menjadi contoh kepada budaya yang ingin dibentuk.
Pemimpin yang mempunyai kecerdasan budaya akan lebih peka terhadap keperluan dan perspektif warga kerja yang berbeza. Mereka mampu membina persefahaman, mengurus konflik dengan bijaksana serta memastikan setiap individu diberikan peluang yang adil untuk berkembang.
Keupayaan untuk mendengar, menghormati perbezaan dan membuat keputusan secara adil merupakan antara ciri penting pemimpin yang berjaya membina organisasi yang inklusif dan berprestasi tinggi.
Akhirnya, organisasi yang ingin terus relevan dan berdaya tahan perlu memahami bahawa kejayaan tidak hanya diukur melalui pencapaian material.
Nilai yang kukuh, budaya organisasi yang sihat, penghargaan yang adil dan kecerdasan budaya yang tinggi merupakan elemen yang saling melengkapi dalam membentuk organisasi yang cemerlang.
Jika nilai ialah kompas yang menentukan arah organisasi, kecerdasan budaya (CQ) pula merupakan kemahiran yang membantu organisasi mengemudi lautan kepelbagaian yang semakin luas.
Dengan berpandukan kedua-duanya, organisasi bukan sahaja mampu mencapai matlamat yang ditetapkan, malah berupaya membina persekitaran kerja yang harmoni, inklusif dan manusiawi demi masa hadapan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Norashikin Azmi
Pegawai Tadbir
Penerbit UIS (UIS Press)
Universiti Islam Selangor (UIS)
E-mel: norashikinazmi@uis.edu.my