Pembaharuan CDL warga emas tidak wajib pemeriksaan kesihatan

Datuk Hasbi Habibollah

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kementerian Pengangkutan (MOT) pada masa ini tidak mewajibkan pemeriksaan kesihatan sebagai syarat tambahan bagi pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) kenderaan persendirian bermula pada usia 70 tahun ke atas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kajian MIROS dan analisis antarabangsa tidak menemui bukti konklusif bahawa pemeriksaan kesihatan mandatori berasaskan umur mengurangkan kadar kemalangan.
  • Statistik PDRM menunjukkan lebih ramai kejadian melibatkan pemandu 16–40 tahun; umur bukan faktor tunggal penyumbang kemalangan.
  • Sekatan berasaskan umur berisiko menjejaskan mobiliti dan kesejahteraan warga emas; banyak masih mampu memandu dengan selamat.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan pada tahun 2025, hanya 3.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya melibatkan warga emas berusia 70 tahun ke atas.

“Sebanyak 69.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya pula melibatkan warga berusia antara 16 hingga 40 tahun.

“Bagaimanapun, data ini merangkumi sama ada sebagai pemandu, penunggang, penumpang atau mangsa, dan tidak menunjukkan bahawa umur semata-mata merupakan faktor utama penyumbang kepada kemalangan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada tahun 2024, sebanyak tiga peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya melibatkan warga emas berusia 70 tahun ke atas, manakala 65.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan jalan raya melibatkan warga berusia 16 hingga 40 tahun.

Bagaimanapun kementerian itu mengambil maklum trend penuaan populasi di Malaysia dengan peratusan penduduk berumur 65 tahun ke atas kini telah melebihi tujuh peratus berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia.

Sehubungan itu, MOT sentiasa meneliti amalan terbaik antarabangsa berkaitan pelesenan pemandu warga emas.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), dapatan kajian dan analisis antarabangsa menunjukkan tiada bukti yang konklusif bahawa pengenalan pemeriksaan kesihatan mandatori berasaskan umur mampu mengurangkan kadar kemalangan secara signifikan.

Pada masa sama, sekatan yang dikenakan berdasarkan faktor umur semata-mata berpotensi menjejaskan mobiliti dan kesejahteraan warga emas, khususnya dalam mengakses perkhidmatan kesihatan, urusan harian dan aktiviti kemasyarakatan.

Peningkatan usia tidak semestinya menyebabkan seseorang hilang keupayaan untuk memandu kerana tahap kesihatan dan kemampuan setiap individu adalah berbeza, dan ramai dalam kalangan mereka masih mampu memandu dengan selamat serta bertanggungjawab.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.