Majlis peluncuran HKHM 2026 diadakan di Ipoh

Muhammad Najmi Mustapha

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Majlis Peluncuran Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 akan diadakan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Ipoh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran diadakan secara sederhana dan tertutup dengan pengisian untuk memupuk semangat cinta negara serta memperkukuh perpaduan.
  • Pendekatan lebih sederhana diambil berikutan pelbagai faktor termasuk krisis bekalan global.
  • Majlis disempurnakan Perdana Menteri, termasuk upacara kibarkan Jalur Gemilang, nyanyian lagu tema dan perkhidmatan kerajaan.
  • JAPEN akan teruskan program lapangan melalui unit JAGO serta program sekolah Pentarama X Club Malaysiaku dan Pentarama Homecoming.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, JAPEN Muhammad Najmi Mustapha berkata, meskipun peluncurannya secara sederhana dan tertutup namun pelbagai pengisian tetap disusun bagi memupuk semangat cintakan negara serta memperkukuh nilai perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Pada tahun ini peluncurannya kita adakan secara tertutup dan memang melibatkan kumpulan sasaran dan Komuniti MADANI seluruh negara.

“Kali ini kita mengambil pendekatan lebih sederhana dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk krisis bekalan global. Namun begitu, sambutannya tetap berlangsung meriah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 akan diadakan pada 19 Julai di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Majlis peluncuran itu akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai pengisian menarik.

Antaranya upacara menaikkan Jalur Gemilang sebagai simbolik pelancaran Bulan Kebangsaan, nyanyian lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta pelbagai perkhidmatan kerajaan kepada pengunjung.

Selepas majlis peluncuran, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) akan meneruskan pelbagai program lapangan menerusi unit bergerak JAGO atau JAPEN Agensi Gerak Komuniti yang akan menjelajah ke lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara.

“Kemeriahan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia hanya akan benar-benar terasa apabila setiap lapisan masyarakat turut bersama-sama mengambil bahagian.

“Paling tidak, satu rumah satu Jalur Gemilang sebagai lambang cinta kepada negara. Pada masa sama, kita berharap setiap Jalur Gemilang yang dikibarkan mematuhi etika, menggunakan bendera yang masih elok, tidak lusuh, tidak koyak dan lengkap coraknya agar suasana sambutan lebih meriah, berwarna-warni serta menyemarakkan semangat cintakan tanah air,” katanya lagi.

JAPEN turut meneruskan program patriotik di sekolah menerusi Pentarama X Club Malaysiaku dan Pentarama Homecoming bagi menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda sepanjang Bulan Kebangsaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.