
KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang mengkaji cadangan menyita aset pesalah trafik yang disabitkan dengan kesalahan serius bagi memastikan mangsa kemalangan jalan raya atau keluarga mereka menerima pampasan.
- Jemaah Menteri bersetuju prinsip meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah trafik membayar pampasan.
- Pampasan dicadangkan sebagai tambahan kepada hukuman sedia ada seperti penjara, denda dan larangan memandu untuk kes kematian atau kecederaan parah.
- MOT bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memperincikan mekanisme pelaksanaan cadangan tersebut.
- Pindaan akta dijangka dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan.
Menterinya, Anthony Loke berkata cadangan itu antara mekanisme yang sedang diteliti khususnya bagi kes apabila pesalah tidak berkemampuan membayar pampasan.
“Kita juga sedang meneliti sama ada aset pesalah boleh disita. Bagaimanapun, saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal kerana perkara ini masih dalam kajian bagi menentukan mekanisme terbaik.
“Matlamatnya adalah untuk memastikan pampasan benar-benar dapat dibayar kepada keluarga,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad mengenai kaedah mendapatkan pampasan sekiranya pesalah tidak berkemampuan membayarnya.
Pada 15 Julai lalu, Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan mahkamah memerintahkan pesalah trafik yang disabitkan dengan kesalahan serius membayar pampasan kepada mangsa atau keluarga mereka.
Pampasan itu dicadangkan sebagai tambahan kepada hukuman sedia ada termasuk penjara, denda dan larangan memandu bagi kesalahan yang menyebabkan kematian, kecederaan parah atau hilang upaya kekal.
MOT turut bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memperincikan mekanisme pelaksanaan cadangan berkenaan.
Pindaan akta itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan.