
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Stok beras negara dikekalkan pada paras kira-kira enam bulan, manakala bantuan bencana pertanian terus disediakan kepada pesawah yang terjejas akibat fenomena El Nino.
- Bantuan Fasa 1 (RM50 juta kepada 8,224 pesawah) dan Fasa 2 (RM138.53 juta kepada 55,058 pesawah) disalurkan.
- Pembangunan sawah berskala besar di Pekan, Rompin, Sabah dan Sarawak untuk meningkatkan pengeluaran padi.
- Perundingan dengan Thailand untuk mempercepat eksport buah tempatan ke China melalui laluan kereta api.
- Penggunaan teknologi termasuk pembekuan durian bagi membolehkan eksport dan kurangkan kesan lambakan terhadap petani.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bantuan bencana pertanian sentiasa disediakan dari semasa ke semasa apabila berlaku kemarau atau perubahan cuaca yang menjejaskan sektor pertanian.
“Hal padi beras, kita sentiasa menjaga stok lebih kurang enam bulan. Soal padi beras memang terus menjadi agenda utama kita dan sawah berskala besar perlu digalakkan.
“Bagi Fasa 1, sebanyak RM50 juta diperuntukkan dengan RM45.24 juta telah disalurkan kepada 8,224 pesawah. Fasa 2 pula, sebanyak RM38.53 juta disalurkan kepada 55,058 pesawah membabitkan kawasan seluas 16,933 hektar yang terjejas akibat kemarau berikutan El Nino,” katanya di Dewan Rakyat.
Tambah Datuk Seri Mohamad, sawah berskala besar kini sedang dibangunkan di beberapa kawasan termasuk Pekan dan Rompin di Pahang, selain Sabah serta Sarawak bagi meningkatkan pengeluaran padi.
Mengulas mengenai lambakan buah-buahan akibat cuaca panas, beliau berkata kerajaan sedang mengadakan perundingan dengan Thailand bagi mempercepatkan eksport buah-buahan tempatan ke China melalui laluan kereta api.
Katanya, pelbagai teknologi termasuk kaedah pembekuan durian turut digunakan bagi membolehkan buah itu dieksport ke luar negara, sekali gus mengurangkan kesan lambakan terhadap petani.