Pemansuhan Jawatankuasa OSC Khas perkukuh tadbir urus DBKL

Jawatankuasa Pusat OSC Khas DBKL dimansuhkan sebagai sebahagian daripada 16 reformasi tatakelola dan tadbir urus yang dilaksanakan dalam tempoh enam bulan/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) Khas di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dimansuhkan bagi memastikan pengasingan kuasa serta mengelakkan campur tangan politik dalam proses membuat keputusan pembangunan.

RINGKASAN BERITA AI
  • DBKL melaksanakan 16 reformasi dalam enam bulan untuk memperkukuh kecekapan pentadbiran, integriti serta sistem penyampaian perkhidmatan.
  • Reformasi merangkumi pengurusan projek siaran radio, pengagihan tapak Bazar Ramadan, pemantauan kontrak, pengurusan lesen perniagaan dan kutipan sewa perumahan.
  • DBKL memperkukuh penglibatan awam dalam perancangan bandar; langkah ini susulan syor Kajian Kebolehlaksanaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah itu merupakan antara 16 reformasi tatakelola dan tadbir urus yang dilaksanakan DBKL dalam tempoh enam bulan bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran, integriti serta sistem penyampaian perkhidmatan.

“Antara reformasi yang telah dilaksanakan ialah pengurusan pelaksanaan projek penerbitan kandungan siaran studio radio, pengurusan dan pengagihan tapak Bazar Ramadan dan Aidilfitri oleh DBKL, pengurusan dan pemantauan kontrak pelaksanaan perkhidmatan, pengurusan pelbagai lesen perniagaan, tadbir urus kejohanan sukan persatuan badan berkanun Malaysia serta pengurusan kutipan sewa Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam oleh DBKL,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Hannah, DBKL turut memperkukuh penglibatan awam dalam proses perancangan dan pembangunan bandar bagi memastikan pandangan serta maklum balas rakyat diambil kira sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Reformasi itu dilaksanakan susulan syor Kajian Kebolehlaksanaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) yang mengenal pasti keperluan memperkukuh tadbir urus, integriti dan kecekapan pentadbiran DBKL.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.