Fenomena El Nino, penularan ajaran sesat antara tumpuan Dewan Rakyat

Bangunan Parlimen/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Langkah-langkah persediaan kerajaan bagi menghadapi fenomena El Nino, punca insiden letupan bom tangan semasa latihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penularan ajaran sesat antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permintaan penjelasan mengenai reformasi tadbir urus DBKL hasil kajian Akta 190, melibatkan integriti dan penyampaian perkhidmatan.
  • Ahli Parlimen menyoal statistik penyakit tidak berjangkit 2024–2026, peningkatan diabetes dan hipertensi dalam kalangan belia serta keberkesanan kempen War on Sugar.
  • Pembentangan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan.
  • Mesyuarat Parlimen Penggal Kelima Parlimen Ke-15 berlangsung 16 hari dan dijadualkan berakhir hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah-langkah persediaan kerajaan menghadapi fenomena El Nino yang dijangka memberi kesan kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara khususnya dari segi bekalan air untuk pengairan, pengeluaran padi, tanaman makanan, penternakan serta langkah memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi.

Turut tersenarai pada sesi hari ini ialah pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) kepada Menteri Pertahanan mengenai punca insiden letupan bom tangan semasa latihan ATM baru-baru ini dan langkah segera kementerian bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan latihan diperkasa serta kejadian sama tidak berulang.

Tan Kok Wai (PH-Cheras) pula meminta Perdana Menteri menyatakan senarai Reformasi Tatakelola dan Tadbir Urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan dilaksanakan hasil daripada Kajian Kebolehlaksanaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) termasuk reformasi yang melibatkan aspek pentadbiran, tadbir urus, integriti dan sistem penyampaian perkhidmatan DBKL.

Pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan pula, Sabri Azit (PN-Jerai) dijadual membangkitkan mengenai kekangan kerajaan bagi menangani penularan ajaran sesat di Malaysia dan langkah intervensi bagi mengukuhkan akidah kumpulan yang telah jauh menyeleweng.

Isu kes penyakit tidak berjangkit turut menjadi perhatian apabila Datuk Dr Richard Rapu (GPS-Betong) meminta Menteri Kesihatan menyatakan statistik terkini kes penyakit tidak berjangkit bagi 2024 hingga 2026 khususnya melibatkan peningkatan kes diabetes dan hipertensi dalam kalangan golongan belia bawah 30 tahun dan sejauh mana keberkesanan kempen War on Sugar serta penguatkuasaan cukai gula dalam menurunkan kadar obesiti nasional.

Turut dijadualkan pada persidangan itu ialah pembentangan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan.

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 berlangsung selama 16 hari dan dijadual berakhir hari ini.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.