Malaysia perkenal rawatan baharu perlahankan penyakit Alzheimer

Eisai Malaysia memperkenalkan LEQEMBI (lecanemab), terapi pengubah penyakit pertama di Malaysia untuk penyakit Alzheimer

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Malaysia mencatat sejarah baharu dalam rawatan penyakit Alzheimer apabila Eisai Malaysia memperkenalkan LEQEMBI (lecanemab), terapi pengubah penyakit pertama di negara ini yang mampu memperlahankan perkembangan penyakit Alzheimer peringkat awal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rawatan menukar pendekatan: bukan sekadar kawal gejala, tetapi memperlahankan perkembangan penyakit dengan mensasarkan amiloid.
  • Ubat itu mendapat kelulusan penuh NPRA pada Januari, membuka laluan penggunaan terapi pengubah penyakit di Malaysia.
  • Diagnosis awal kritikal; sistem penjagaan perlu bersedia, kerjasama semua pihak bagi saringan, rawatan berterusan dan sokongan kepada pesakit serta keluarga.

Ubat itu mendapat kelulusan penuh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada Januari lalu.

Pengarah Urusan Eisai Malaysia, Kam Ai Teng berkata, rawatan tersebut mengubah pendekatan sedia ada daripada sekadar mengawal gejala kepada memperlahankan perkembangan penyakit dengan menyasarkan amiloid, iaitu antara punca utama Alzheimer.

Beliau turut menekankan kepentingan diagnosis awal bagi membolehkan pesakit mendapat manfaat daripada terapi berkenaan.

“Ini merupakan satu langkah yang amat bermakna dalam rawatan penyakit Alzheimer, apabila matlamat rawatan kini bukan lagi terhad kepada melegakan gejala, tetapi turut berupaya memperlahankan perkembangan penyakit itu sendiri.

“Perkara ini amat penting kerana penyakit Alzheimer sebenarnya bermula jauh lebih awal sebelum munculnya gejala yang ketara,” katanya ketika berucap melancarkan LEQEMBI di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Eisai, keperluan pengesanan awal semakin penting apabila jumlah penghidap demensia di Malaysia dianggarkan meningkat kepada 825,000 orang menjelang 2050.

Penyakit itu turut dianggarkan menelan kos antara RM7.9 bilion hingga RM8.5 bilion setahun kepada negara, termasuk kos penjagaan kesihatan, kehilangan produktiviti dan penjagaan oleh ahli keluarga.

Sementara itu, Presiden Dementia Alliance Malaysia (DAMai), Profesor Tan Maw Pin berkata, kejayaan inovasi perubatan bergantung pada kesiapsiagaan sistem penjagaan kesihatan dalam menyediakan pengesanan awal, diagnosis dan rawatan berterusan.

“Sehubungan itu, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan pesakit serta keluarga menerima sokongan yang sewajarnya,” katanya.

Pelancaran LEQEMBI turut menyokong usaha negara memperkukuh ekosistem penjagaan demensia selaras dengan Pelan Tindakan Demensia 2023–2030, yang memberi tumpuan kepada saringan awal, pengurangan stigma serta peningkatan sokongan kepada pesakit dan penjaga.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.