RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 diluluskan Dewan Rakyat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) (Pindaan) 2026 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini bakal memperkukuh tadbir urus serta fungsi suruhanjaya itu dalam mengawal selia industri komunikasi dan multimedia negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan tidak memberi kuasa tambahan kepada Menteri; ia menetapkan kriteria pelantikan Pengerusi dan anggota lebih jelas.
  • Kuasa pelantikan itu adalah peruntukan sedia ada sejak Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
  • Pengerusi MCMC tidak boleh terdiri daripada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri; syarat kelayakan diperincikan untuk elakkan konflik kepentingan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pindaan itu tidak memberikan kuasa tambahan kepada Menteri dalam pelantikan Pengerusi dan anggota MCMC, sebaliknya menetapkan kriteria pelantikan yang lebih jelas.

Beliau berkata kuasa pelantikan berkenaan merupakan peruntukan sedia ada sejak Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkuat kuasa.

“Pindaan yang dibawa Kerajaan MADANI hanya menetapkan bahawa Pengerusi MCMC tidak boleh terdiri daripada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri, selain memperincikan syarat kelayakan calon bagi mengelakkan konflik kepentingan,” katanya ketika sesi penggulungan RUU berkenaan.

Teo berkata pelantikan ketua badan berkanun oleh Menteri turut dilaksanakan di beberapa agensi lain antaranya Suruhanjaya Sekuriti (SC), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.