Deschamps kritik mutu pengadil perlawanan

Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps (tengah) mengkritik mutu pengadilan pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2026. Foto/AFP

ARLINGTON 15 Julai – Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps mengkritik mutu pengadilan pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia 2026 yang menyaksikan Les Bleus tewas 0-2 kepada Sepanyol.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kritik penalti oleh Ivan Barton, persoal sama ada keputusan tepat dan kesesuaian pengadil semasa separuh akhir.
  • Mengakui kekalahan sukar diterima walaupun Perancis berprestasi baik dan menjaringkan banyak gol sepanjang kempen.
  • Sikap realistik: Perancis sedikit ketinggalan dari segi teknikal; Sepanyol mengawal permainan dengan sangat baik.
  • Tegaskan kesalahan mereka sendiri dan enggan menyalahkan sesiapa; kekalahan menamatkan impian gelaran ketiga dan kariernya sebagai jurulatih.

Pengendali berusia 57 tahun itu merujuk kepada keputusan pengadil dari El Salvador, Ivan Barton yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Sepanyol.

“Adakah ia keputusan tepat kerana ia jelas satu kekasaran yang tidak disengajakan. Adakah pengadil itu berada pada tahap yang diperlukan untuk mengadili perlawanan separuh akhir Piala Dunia,” tegasnya.

Dalam pada itu, Deschamps mengakui kekalahan kepada Sepanyol sangat sukar diterima, lebih-lebih lagi apabila Perancis berada pada prestasi terbaik dengan jaringan 16 gol dalam enam perlawanan.

“Sudah tentu kami amat kecewa kerana kami datang dengan cita-cita yang tinggi. Namun kami juga perlu bersikap realistik dan mengakui bahawa hari ini kami sedikit ketinggalan dari segi teknikal berbanding Sepanyol yang mengawal permainan dengan sangat baik.

“Tetapi yang paling penting, kesalahan ini adalah daripada kami sendiri. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa,” tegasnya.

Kekalahan kepada Sepanyol telah memusnahkan impian Les Bleus untuk merangkul gelaran Piala Dunia ketiga, selain menjadi kempen terakhir Deschamps sebagai pengendali skuad Perancis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.