
ARLINGTON, 15 Julai – Sepanyol beraksi dengan lebih cemerlang dan lebih layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2026.
- Barisan tengah Sepanyol (Rodri, Dani Olmo, Fabian Ruiz) berjaya memutuskan bekalan bola kepada jentera serangan Perancis.
- Mbappe mengakui masalah di bahagian tengah dan gagal bermain mengikut perancangan taktikal, teknikal serta prestasi keseluruhan.
- Mbappe optimis Perancis akan bangkit menjelang Kejohanan Eropah 2028 dan menegaskan perlu terima kekalahan dengan penuh maruah.
- Gol Mikel Oyarzabal dari penalti minit 22 dan Pedro Porro minit 58 memastikan kemenangan 2-0 Sepanyol.
Perkara itu diakui ketua pasukan Perancis, Kylian Mbappe selepas mereka tewas 0-2 kepada skuad kendalian Luis de la Fuente berkenaan awal pagi Rabu.
Menurut bintang Real Madrid tersebut, barisan tengah Sepanyol yang diketuai Rodri, Dani Olmo dan Fabian Ruiz berjaya memutuskan bekalan bola kepada jentera serangan Perancis, sekali gus menyekat ancaman Les Bleus sepanjang perlawanan.
“Kami sering berada dalam situasi kalah di bahagian tengah dan ia menjadi satu masalah besar.
“Kami tidak bermain seperti yang dirancang, sama ada dari segi taktikal, teknikal mahupun prestasi keseluruhan. Jika anda gagal mempamerkan aksi terbaik dalam separuh akhir Piala Dunia, anda tidak akan menang,” katanya.
Penyerang berusia 27 tahun itu bagaimanapun optimis, Perancis mempunyai kekuatan untuk bangkit semula menjelang Kejohanan Eropah 2028.
“Kami mahu ke final untuk terus menghidupkan impian rakyat Perancis dan mencipta sejarah. Kini kami perlu menerima kekalahan ini dengan penuh maruah.
“Kami sangat kecewa, tetapi kami perlu bangkit semula. Bola sepak tidak menunggu sesiapa. Kami perlu belajar daripada kegagalan ini dan memulakan lembaran baharu,” katanya
Pada aksi tersebut, gol pembukaan dijaringkan penyerang, Mikel Oyarzabal menerusi sepakan penalti pada minit ke-22.
Pemain pertahanan, Pedro Porro kemudiannya meledakkan gol kedua menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti pada minit ke-58 perlawanan dengan keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan.