Dua warga Bangladesh tanpa dokumen ditahan PGA

Kedua-dua warga Bangladesh mengaku menumpang di sebuah surau di Kampung Beting Pauh sebelum ditahan PGA/Foto PGA Briged Tenggara

PASIR MAS, 15 Julai – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai memasuki negara ini melalui pengkalan haram di sekitar Kampung Beting Pauh, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua warganegara Bangladesh berusia 21 tahun ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
  • Mereka mengaku memasuki Malaysia dari Thailand melalui pengkalan haram pada Januari lalu dan bekerja binaan di Pasir Gudang upah RM30 sehari.
  • Mengaku menumpang di sebuah surau di Kampung Beting Pauh; kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan polis.

Kedua-dua lelaki berusia 21 tahun itu ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua suspek berjalan kaki di bahu jalan dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan kira-kira pukul 2 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah sebelum ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek mengaku memasuki Malaysia dari Thailand melalui sebuah pengkalan haram yang tidak diketahui lokasinya pada Januari tahun lalu.

Dua lelaki warga Bangladesh ditahan PGA selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah/PGA Briged Tenggara

“Mereka turut mengaku bekerja sebagai buruh binaan di Pasir Gudang, Johor dengan upah RM30 sehari sebelum berpindah ke Kelantan kira-kira seminggu lalu untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Mereka juga mengaku menumpang di sebuah surau di Kampung Beting Pauh sejak tiba di Kelantan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Manakala kedua-dua suspek telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.