Lelaki seludup petrol sejak 2022 ditahan PGA

PGA merampas sebuah kereta yang diubah suai bersama 50 liter petrol dipercayai untuk diseludup ke Thailand/Foto PGA Briged Tenggara

TUMPAT, 15 Julai – Taktik seorang lelaki mengubah suai tangki minyak keretanya bagi menyeludup petrol ke Thailand terbongkar selepas ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara di Pengkalan Kubor, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebuah kereta dan 50 liter petrol dirampas, nilai rampasan dianggarkan RM12,168.50.
  • Suspek berusia 55 tahun ditahan selepas memandu mencurigakan kira-kira pukul 9 pagi; pemeriksaan mendapati tangki kenderaan diubah suai.
  • Suspek mengaku menyeludup petrol secara on-off sejak Jun 2022; beli RM3.37 seliter, jual RM4.50 seliter melalui stor dikendalikan "Pok Ta".

Turut dirampas sebuah kereta dan 50 liter petrol, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM12,168.50.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek yang berusia 55 tahun itu ditahan selepas mendapati memandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 9 pagi.

“Pemeriksaan mendapati tangki minyak kenderaan itu telah diubah suai dengan kesan kimpalan dan menemukan kira-kira 50 liter petrol di dalam tangki itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek mengaku terbabit dalam kegiatan penyeludupan petrol secara ‘on-off’ sejak Jun 2022.

Seorang lelaki ditahan PGA selepas disyaki menggunakan kereta yang diubah suai untuk menyeludup petrol ke Thailand/Foto PGA Briged Tenggara

Menurut Ahmad Radzi, suspek mendakwa membeli petrol pada harga RM3.37 seliter di beberapa stesen minyak sekitar Tumpat bagi mengelakkan dikesan membuat pengisian berulang di stesen yang sama.

“Petrol itu kemudian dijual pada harga RM4.50 seliter di sebuah stor di Pengkalan Haram Tualang yang dikendalikan seorang individu dikenali sebagai ‘Pok Ta’,” katanya.

Kes telah dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.