
BENTONG, 15 Julai – Seorang lelaki maut manakala anaknya yang berusia 6 tahun cedera parah selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 15 Jalan Utama Mempaga, di sini.
- Pemeriksaan awal: kedua-dua kenderaan bergerak dari arah bertentangan; pacuan empat roda dipercayai memotong di garisan berkembar lalu memasuki laluan bertentangan.
- Pemandu pacuan empat roda ditahan; permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dibuat untuk membantu siasatan.
- Ujian saringan air kencing negatif; sampel darah diambil untuk analisis lanjut manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
Mangsa Zaiful Arimey Zainal Abidin,33, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan kaki dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara anaknya pula mengalami kecederaan parah di bahagian kaki kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Bentong.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, Pusat Kawalan IPD Bentong telah menerima makluman pada pukul 10.48 malam berhubung kejadian tersebut.
Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan sedang bergerak dari arah bertentangan.
Ketika kejadian pacuan empat roda terbabit datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Raub dipercayai telah memotong beberapa buah kenderaan di kawasan garisan berkembar sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal berkenaan.
Bagaimanapun, pemandu pacuan empat roda itu yang berusia 43 tahun bersama seorang penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Pemandu tersebut telah ditahan dan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dibuat pagi ini bagi membantu siasatan.
Keputusan ujian saringan air kencing dijalankan dan didapati negatif manakala sampel darah telah diambil untuk analisis lanjut.
Siasatan diteruskan bagi melengkapkan keterangan dan mengenal pasti punca kejadian secara menyeluruh.