276 hari gencatan senjata, 1,100 rakyat Palestin terbunuh – Laporan

Seorang ahli keluarga memegang tangan Yahya al-Malahi, tiga tahun, yang maut dalam serangan di Gaza City sebelum pengebumiannya pada 14 April 2026/ AFP

KUALA LUMPUR, 14 Julai- Seramai 1,100 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berterusan Israel di Gaza sepanjang 276 hari sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai, menurut Laporan Situasi ke-94 Pusat Komunikasi Kerajaan di Jabatan Perdana Menteri Palestin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keadaan kemanusiaan merosot: kekurangan air bersih, sanitasi tidak mencukupi dan peningkatan risiko kesihatan menjejaskan sebahagian besar penduduk.
  • Lebih daripada 1.9 juta penduduk kehilangan tempat tinggal; penempatan sementara sesak, sistem kumbahan rosak, longgokan sampah dan pencemaran sumber air.
  • Hanya 20 daripada 37 hospital masih beroperasi secara penuh atau separa; serangan terhadap fasiliti dan kecederaan petugas menambah tekanan sistem kesihatan.

Laporan itu turut merekodkan jumlah korban keseluruhan sejak konflik bermula pada Oktober 2023 mencecah 73,223 orang.

Laporan bagi tempoh 6 hingga 13 Julai 2026 itu menyifatkan keadaan kemanusiaan di Gaza semakin meruncing susulan operasi ketenteraan berterusan, sekatan terhadap akses bantuan kemanusiaan serta kemusnahan infrastruktur awam.

“Keadaan kemanusiaan terus merosot berikutan kekurangan bekalan air bersih yang serius, perkhidmatan sanitasi yang tidak mencukupi serta peningkatan risiko kesihatan awam yang menjejaskan sebahagian besar rakyat Palestin,” menurut laporan yang dikeluarkan jabatan itu kepada RTM hari ini.

Dalam tempoh lapan hari pelaporan itu, beberapa serangan di kawasan Tel al-Hawa di selatan Gaza City serta Khan Younis dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin termasuk kanak-kanak.

Dalam kejadian berasingan, tujuh nelayan Palestin turut ditahan ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan al-Zawayda sebelum dibawa ke lokasi yang tidak didedahkan.

Selain itu, serangan dron ke atas Hospital Kamal Adwan di utara Gaza dilaporkan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga petugas perubatan cedera, sekali gus menambah tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan di wilayah berkenaan.

Laporan itu turut menyatakan lebih daripada 1.9 juta penduduk masih kehilangan tempat tinggal, manakala pusat perlindungan sementara berdepan kemerosotan keadaan sanitasi serta gangguan perkhidmatan asas.

“Lebih daripada 1.9 juta penduduk masih kehilangan tempat tinggal, dengan ramai yang terpaksa berpindah berkali-kali, manakala lokasi penempatan sementara yang sesak berdepan masalah sistem kumbahan yang meluas, longgokan sisa buangan, pembiakan tikus, pencemaran sumber air serta keruntuhan perkhidmatan asas,” menurut laporan sama,” tambah laporan itu.

Menurut laporan sama, hanya 20 daripada 37 hospital di Gaza masih beroperasi sama ada sepenuhnya atau secara separa setakat 10 Julai lalu.

Laporan itu turut merekodkan 173,654 individu cedera manakala 11,200 lagi masih dilaporkan hilang sejak konflik bermula pada Oktober 2023.

Sementara itu, sebanyak 89 insiden melibatkan wartawan, petugas media dan pelajar kewartawanan direkodkan sepanjang Jun lalu, termasuk pembunuhan, penahanan, kecederaan serta sekatan terhadap liputan media, menurut laporan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.