MOT cadang pindaan Akta 333, mangsa kemalangan bakal terima pampasan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

KUALA LUMPUR, 14 JULAI – Hukuman berat terhadap pelumba haram yang menyebabkan kematian telah diperuntukkan di bawah undang-undang sedia ada.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Pengangkutan mencadangkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
  • Pindaan bertujuan memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau waris yang sah.
  • Pampasan melibatkan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian atau kecederaan serius.
  • Mahkamah diberi kuasa memerintahkan pesalah membayar pampasan berdasarkan fakta, kerugian dan kemampuan pesalah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemandu yang menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya dan melulu boleh disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa undang-undang sedia ada sudah memperuntukkan hukuman yang berat. Dalam kes Simpang Renggam, Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu pertuduhan membunuh yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, termasuk sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati,” katanya di Dewan Rakyat.

Tambah Loke, Kementerian Pengangkutan juga sedang mencadangkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Pindaan itu bertujuan memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau waris yang sah bagi kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian atau kecederaan serius.

“Melalui cadangan ini, mahkamah akan diberi kuasa untuk memerintahkan pesalah yang disabitkan atas kesalahan serius di bawah Akta 333 membayar pampasan kepada mangsa atau waris berdasarkan fakta dan merit setiap kes, termasuk tahap kecederaan atau kematian, kerugian yang dialami serta kemampuan pesalah untuk membayar,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.