JKR perkukuh kelestarian projek melalui tiga inisiatif

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) melancarkan tiga inisiatif strategik bagi memperkukuh agenda kelestarian.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKR memperkenal Polisi Pembangunan Lestari, Standard JKR/SIRIM 2:2025 Penarafan Hijau dan platform digital Sistem e-pH bagi pengurusan pembinaan mampan.
  • Menteri tekankan piawaian tinggi dan pematuhan projek jalan, jambatan serta bangunan untuk memastikan kualiti infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.
  • Kementerian mahu luaskan penggunaan standard kepada sektor swasta dan pihak berkuasa tempatan untuk manfaat menyeluruh industri pembinaan.

Sekali gus meningkatkan kecekapan serta ketelusan dalam pengurusan projek pembinaan mampan.

Tiga inisiatif tersebut merangkumi Polisi Pembangunan Lestari JKR, Standard JKR/SIRIM 2:2025 Penarafan Hijau (pH) JKR Bangunan, serta Sistem e-pH JKR yang merupakan platform digital bagi mengurus maklumat standard pembinaan secara lebih sistematik.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penetapan piawaian tinggi dalam setiap projek pembinaan adalah kunci utama bagi memastikan kualiti infrastruktur negara sentiasa berada pada tahap terbaik.

Menurut beliau, semua projek termasuk pembinaan jalan raya, jambatan dan bangunan perlu mematuhi standard yang ditetapkan, di samping memberi perhatian serius terhadap aspek kelestarian alam sekitar.

“Projek pembinaan bukan sekadar perlu disiapkan mengikut jadual, tetapi juga mesti menyumbang kepada pembangunan mampan dalam jangka panjang,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program pH JKR Day 2026 di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan daripada 52 projek bangunan dan 49 projek jalan yang dilaksanakan setakat ini, sebanyak 10 projek bangunan dan 11 projek jalan raya telah menerima penarafan hijau bagi tempoh 2024 hingga kini.

Perkembangan itu, jelasnya, mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap projek infrastruktur awam memenuhi piawaian kelestarian yang ditetapkan.

Dalam masa sama, kementerian berhasrat memperluaskan pemakaian standard tersebut melangkaui agensi dalaman JKR, termasuk melibatkan sektor swasta serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi manfaat industri pembinaan secara menyeluruh.

Program pH JKR Day 2026 yang bertemakan “Standard Diperkukuh, Kelestarian Diperkasa” merupakan sebahagian daripada pengisian menuju Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN 2026) yang dijadual berlangsung pada 1 hingga 2 Disember depan di Kuching, Sarawak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.