
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bukan permit untuk tinggal di Malaysia, sebaliknya hanya mengesahkan seseorang itu telah didaftarkan sebagai pelarian.
- Pemegang kad UNHCR tetap tertakluk kepada undang-undang Malaysia; status pelarian tidak diiktiraf sebagai kategori berasingan dalam Akta Imigresen.
- Perlu penguatkuasaan menyeluruh terhadap pemalsuan dan penyalahgunaan kad UNHCR tanpa mengira status individu.
- Kerajaan harus memperketat penguatkuasaan untuk mengelakkan penyalahgunaan kad dan melindungi kedaulatan negara.
- Kad UNHCR bukan dokumen kewarganegaraan atau memberikan imuniti; sebarang kesalahan akan disiasat dan diambil tindakan mengikut undang-undang.
Pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, pemegang kad UNHCR tetap tertakluk kepada undang-undang negara.
“Dia bukan visa dan dia bukan juga permit tempat tinggal dan sebagainya. Dan sudah tentulah mereka tidak dikecualikan daripada penguatkuasaan undang-undang negara. Malaysia bukanlah sebuah negara yang meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 ataupun Protokol 1967.
“Dalam Akta Imigresen kita, kita tidak mengiktiraf status pelarian sebagai satu kategori yang berasingan. Ini bermakna sesiapa sahaja yang berada di Malaysia tanpa dokumen atau permit perjalanan yang sah tertakluk kepada Akta Imigresen, termasuk pemegang kad UNHCR,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Mengenai ancaman pemalsuan kad UNHCR, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr. Ikmal Hisham Md Tah berkata, penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira status.
“Kita melihat tentang kewujudan sindiket pemalsuan kad UNHCR, dan dalam masa yang sama juga wujud keadaan di mana ada antara mereka yang bersubahat untuk melakukan jenayah melibatkan pendatang asing, menyembunyikan mereka, dan ini mengganggu gugat kedaulatan negara serta aspek penguatkuasaan undang-undang itu sendiri,” katanya.
Mengulas aspek penguatkuasaan, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli berkata, kerajaan perlu memperketatkan penguatkuasaan bagi mengelakkan penyalahgunaan kad UNHCR.
“Kerajaan harus memainkan peranan yang sangat efektif dalam memastikan kad UNHCR ini tidak disalahgunakan kerana kerajaan memiliki bidang kuasa untuk melaksanakan tindakan ke atas mereka yang menyalahgunakannya,” katanya.
Semalam, Menteri Ekonomi Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kad UNHCR bukan dokumen kewarganegaraan dan tidak memberikan imuniti daripada undang-undang Malaysia.
Sebaliknya, mana-mana individu yang melakukan kesalahan tetap akan disiasat dan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Data UNHCR sehingga akhir Februari 2026 menunjukkan terdapat 215,600 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar di Malaysia.
Majoriti daripada mereka ialah warga Myanmar, diikuti pelarian dan pencari suaka dari lebih 50 negara lain.