Unity Merdeka x RTM semarak Final Piala Dunia 2026

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Dataran Merdeka bakal menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia apabila festival komuniti ‘Unity Merdeka x RTM World Cup 2026’ berlangsung selama empat hari bermula 17 hingga 20 Julai ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjuran bersama PDRM dan RTM melalui inisiatif Yayasan Prihatin serta kerjasama IPKKL.
  • Matlamat festival memperkukuh perpaduan dan meningkatkan kesedaran keselamatan serta ketenteraman awam.
  • RTM menayangkan perlawanan akhir Piala Dunia 2026 secara langsung pada skrin gergasi.
  • Pelbagai pengisian termasuk gerai PKS, kaunter semakan saman PDRM, pameran logistik polis, Muay Thai, pesta buah, persembahan Nabila Razali dan Datuk Yusry.

Penganjuran bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu merupakan inisiatif Yayasan Prihatin dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Ia bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan serta memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan yang bakal tiba.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Azani Omar berkata, program tersebut menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam satu platform yang menekankan mesej kebersamaan selain meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan dan ketenteraman awam.

“Saya mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan festival berkenaan yang dilihat sebagai pemangkin awal sambutan kemerdekaan negara,” katanya kepada media selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail memaklumkan penganjuran berkenaan turut mengambil kesempatan daripada bahang Piala Dunia FIFA 2026, selaras dengan peranan RTM sebagai penyiar rasmi kejohanan itu.

“Sinergi antara RTM dan PDRM melalui festival tersebut mampu memperkukuh semangat kesatuan rakyat menerusi pelbagai aktiviti komuniti yang dirancang,” katanya selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, hari ini.

Orang ramai berpeluang menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia menerusi tayangan skrin gergasi.

Selain menikmati pelbagai pengisian menarik termasuk penyertaan usahawan PKS tempatan, kaunter semakan saman PDRM, pameran aset logistik polis, perlawanan Muay Thai, pesta buah-buahan serta persembahan artis popular tanah air seperti Nabila Razali dan Datuk Yusry.

Festival ini dijangka menjadi antara acara kemuncak yang bukan sahaja meraikan sukan bertaraf dunia, malah memperkukuh perpaduan rakyat menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.