Zakat fitrah era digital: Kutipan cecah RM18.3 juta

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Peralihan ke arah pembayaran digital terus memberi impak positif apabila sebanyak 40 peratus kutipan zakat kini dilakukan secara dalam talian, sekali gus menyumbang kepada peningkatan 10 peratus kutipan zakat fitrah di Wilayah Persekutuan kepada RM18.3 juta tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peralihan ke pembayaran digital dan penggunaan kod QR mempercepat pembayaran, meluaskan capaian, dengan peningkatan kutipan melalui kod QR melebihi 60 peratus.
  • Komitmen 946 amil memastikan kutipan zakat fitrah lancar; 24 amil diberi pengiktirafan atas prestasi cemerlang dalam pelbagai kategori.
  • PPZ-MAIWP, MAIWP dan amil digesa perkukuh kerjasama bagi menghadapi cabaran krisis minyak, ekonomi dan geopolitik demi membantu golongan asnaf.

Seiring perkembangan teknologi, landskap pembayaran zakat turut berubah dengan kaedah digital semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat, sekali gus memudahkan urusan menunaikan ibadah tersebut.

Menurut Pengerusi Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Ahmad Azam Ab Rahman, penggunaan teknologi dalam pengurusan zakat bukan sahaja mempercepat proses pembayaran, malah meluaskan capaian perkhidmatan kepada orang ramai.

Katanya, kutipan melalui penggunaan kod QR mencatat peningkatan memberangsangkan melebihi 60 peratus berbanding tahun lalu.

“Ini membuktikan bahawa apabila teknologi digabungkan dengan usaha gigih para amil di lapangan, kita mampu memperluaskan lagi capaian perkhidmatan zakat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Amil Fitrah 2026 yang berlangsung di ibu negara.

Majlis tersebut diadakan bagi menghargai peranan para amil sebagai barisan hadapan dalam membantu masyarakat menunaikan kewajipan zakat fitrah, selain mengiktiraf sumbangan mereka dalam memastikan kelancaran kutipan setiap tahun.

Semantra itu kejayaan kutipan tersebut turut didorong komitmen 946 amil yang dilantik PPZ-MAIWP sepanjang Ramadan lalu, yang bukan sahaja mengurus kutipan zakat fitrah, malah menjadi barisan hadapan dalam memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat.

Seramai 24 amil menerima pengiktirafan atas prestasi cemerlang dalam beberapa kategori, termasuk Anugerah Ketua Penolong Amil Terbaik, Anugerah Kutipan Amil Tertinggi Kategori Kupon, Anugerah Kutipan Amil Tertinggi Kategori Kod QR serta Anugerah Kutipan Amil Tertinggi Kategori Kod QR Mengikut Zon.

Datuk Ahmad Azam turut mengingatkan institusi zakat agar bersedia menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia yang dijangka memberi kesan kepada kesejahteraan masyarakat serta ekosistem zakat negara.

“Kita sedang menghadapi tiga cabaran serangkai iaitu krisis minyak dan tenaga, krisis ekonomi yang boleh menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan serta perubahan geopolitik yang tidak menentu.

“Kesan daripada keadaan ini boleh meningkatkan jumlah asnaf dan mengurangkan jumlah pembayar zakat,” jelasnya.

Jelas beliau kerjasama erat antara PPZ-MAIWP, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan para amil perlu terus diperkukuh bagi memastikan sistem kutipan dan agihan zakat kekal berkesan dalam membantu golongan asnaf, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.