Laporan kesihatan ahli Parlimen wajib dikemuka sebelum 30 Oktober

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Julai – Semua ahli Parlimen diwajibkan mengemukakan laporan kesihatan masing-masing kepada pihak Parlimen selewat-lewatnya 30 Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rekod kesihatan penting supaya Parlimen ada maklumat awal tentang tahap kesihatan setiap wakil rakyat untuk menghadapi kecemasan.
  • Maklumat kesihatan memudahkan tindakan segera semasa persidangan jika berlaku kecemasan perubatan.
  • Jika perlu dihantar ke hospital, maklumat Parlimen boleh diserahkan terus kepada hospital.
  • Ahli Parlimen dibenarkan menjalani pemeriksaan di luar Parlimen tetapi dokumen mesti diserahkan kepada doktor Parlimen untuk simpanan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, langkah itu penting bagi memastikan pihak Parlimen mempunyai maklumat awal mengenai tahap kesihatan setiap wakil rakyat.

Menurut beliau, rekod kesihatan berkenaan akan memudahkan tindakan segera sekiranya berlaku sebarang kecemasan perubatan ketika persidangan berlangsung.

“Laporan kesihatan Yang Berhormat ini penting untuk kita ada di Parlimen, sebab kalau apa-apa jadi kepada Yang Berhormat, kita dah ada maklumat awal.

“Jadi kalau pun kita terpaksa menghantar Yang Berhormat ke hospital, maklumat yang ada pada kita itu terus kita hantar ke hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum memulakan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, ahli Parlimen turut dibenarkan menjalani pemeriksaan kesihatan di luar Parlimen.

Bagaimanapun, laporan atau dokumen pemeriksaan berkenaan perlu diserahkan kepada doktor bertugas di Parlimen untuk tujuan rekod dan simpanan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.