
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Langkah tegas dan komprehensif sedang dilaksanakan bagi membanteras kegiatan lumba haram di seluruh negara.
- RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 perkenal Seksyen 42A khusus bagi kesalahan lumba haram.
- Kerajaan akan kenakan tindakan undang-undang paling berat terhadap pemandu yang menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya.
- Kementerian bekerjasama dengan KDN, PDRM dan Pejabat Peguam Negara untuk penguatkuasaan tegas dan hukuman setimpal; denda dan penjara ditetapkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, usaha itu diterjemahkan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan kesalahan khusus bagi kegiatan lumba haram melalui Seksyen 42A, sekali gus memperkukuh penguatkuasaan.
Rang undang-undang itu telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 24 Jun lalu dan dijadual dibentangkan di Dewan Negara, minggu depan.
“Ini menunjukkan komitmen kerajaan bahawa pemandu yang menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya dan melulu tidak akan dilayan sebagai pesalah trafik biasa, sebaliknya akan dikenakan tindakan undang-undang yang paling berat mengikut kesesuaian kes.
“Kementerian akan terus bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara bagi memastikan penguatkuasaan yang tegas dan hukuman yang setimpal demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya,
RUU tersebut memperuntukkan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua atau berulang, denda yang dikenakan adalah antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.