
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Kemajuan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), disambut baik Malaysia serta Singapura, termasuk usaha memuktamadkan pelan induk JS-SEZ dalam tempoh terdekat.
- Perdana Menteri Anwar mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Tharman dan bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala dan perkembangan serantau.
- Kedua-dua pihak menyambut perkembangan positif dalam menyelesaikan perkara tertangguh dan komited meneruskan rundingan konstruktif berlandaskan saling menghormati.
- Lawatan Negara tiga hari Tharman ke Malaysia adalah lawatan balas kepada kunjungan Sultan Ibrahim ke Singapura.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di Facebook mengakui inisiatif strategik itu, akan memperkukuh perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi yang saling menguntungkan kedua-dua negara.
Beliau mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di samping bertukar pandangan mengenai hubungan Malaysia-Singapura, perkembangan serantau serta pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama.
“Bicara kami turut menyentuh perkembangan positif dalam usaha menyelesaikan beberapa perkara tertangguh.
“Kedua-dua pihak mengulangi komitmen untuk terus menyelesaikan isu yang masih berbangkit melalui rundingan yang konstruktif berlandaskan semangat saling menghormati dan persefahaman yang telah dipersetujui bersama,” katanya.
Datuk Seri Anwar juga berharap agar hubungan Malaysia dan Singapura terus diperkukuh berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan manfaat bersama demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Tharman mengadakan Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia bermula hari ini hingga Rabu atas jemputan Yang di-Pertuan Agong.
Kementerian Luar memberitahu lawatan itu sebagai membalas Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada Mei 2024.