21 lelaki warga asing ditahan dalam operasi imigresen di Pulau Pinang

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan operasi penguatkuasaan bersepadu ke atas empat premis perniagaan di sini. / Foto RTM

GEORGE TOWN, 13 Julai – Seramai 21 lelaki warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi penguatkuasaan bersepadu ke atas empat premis perniagaan di Jalan Datuk Keramat, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tiada dokumen pengenalan sah, melanggar syarat pas, dan kad pengenalan tidak diiktiraf.
  • Ramai yang mendakwa datang untuk membeli-belah, namun siasatan mendapati mereka bekerja atau tinggal melebihi tempoh sehingga tiga tahun.
  • Tahanan melibatkan warga India, Bangladesh dan Myanmar; kes dibawa ke Depot Imigresen Jawi dan lima saman saksi Borang 29 dikeluarkan.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Syamsul Fitry Ahmad berkata penahanan dibuat atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Antara kesalahan dikesan ialah gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, melanggar syarat pas serta memiliki kad pengenalan yang tidak diiktiraf.

“Kebanyakan mereka memberi alasan datang untuk membeli-belah. Bagaimanapun, siasatan dan risikan awal mendapati terdapat kesalahan, contohnya bekerja,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Hasil semakan awal turut mendapati terdapat warga asing yang sudah tiga tahun tinggal melebihi tempoh dibenarkan selepas memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 15 warga India serta masing-masing tiga warga Bangladesh dan Myanmar, berusia antara 18 hingga 51 tahun.

Kesemua 21 individu itu dibawa ke Depot Imigresen Jawi untuk siasatan lanjut dan sebanyak lima saman saksi di bawah Borang 29 turut dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan.

Operasi berkenaan dijalankan hasil risikan dan aduan awam terhadap premis yang disyaki menggaji atau dikendalikan warga asing.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.