
KUALA LUMPUR, 13 Julai – Wisma Putra mengesahkan setakat ini tiada laporan rakyat Malaysia terjejas dalam kejadian kebakaran besar yang berlaku di premis komersial di Bangkok, Thailand, semalam.
- Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok memantau rapat dan berhubung dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengenal pasti penglibatan rakyat Malaysia.
- Pihak berkuasa Thailand mengesahkan sekurang-kurangnya 27 terkorban, 63 cedera, dengan 22 mangsa berada dalam keadaan kritikal.
- Sentiasa berwaspada, patuhi arahan keselamatan; daftar dan kemas kini e-Konsular serta hubungi Kedutaan Bangkok di +66 2 340 5720 untuk bantuan konsular.
Dalam kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang memantau rapat perkembangan insiden itu serta berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti sekiranya warganegara Malaysia terlibat.
Menurut pihak berkuasa Thailand, kebakaran itu mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang, manakala 63 lagi cedera dan dirawat di hospital, termasuk 22 mangsa berada dalam keadaan kritikal.
Pihak berkuasa Thailand turut melaksanakan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Wisma Putra memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok akan terus memantau situasi semasa dan menyalurkan perkembangan terkini sekiranya terdapat maklumat baharu melibatkan rakyat Malaysia.
“Rakyat Malaysia yang menetap atau berada di Bangkok supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri serta mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Mereka juga digesa mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi serta penyaluran bantuan konsular sekiranya berlaku kecemasan,” menurut kenyataan itu.
Bagi bantuan konsular segera, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok melalui talian +66 2 340 5720 atau e-mel mwbangkok@kln.gov.my.