Piala Dunia: FIFA sedia bincang format 64 pasukan

Presiden FIFA, Gianni Infantino / REUTERS

AMERIKA SYARIKAT, 13 Julai -Format saingan Piala Dunia berkemungkinan besar akan menyaksikan satu lagi perubahan apabila badan induk bola sepak dunia, FIFA, membayangkan bersedia menilai cadangan penyertaan sehingga 64 pasukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan rasmi mengenai perubahan format akan diadakan selepas Piala Dunia 2026, yang menggunakan format baharu 48 pasukan.
  • Infantino berkata penambahan pasukan penting bagi memastikan ekosistem bola sepak inklusif dan memberi insentif kepada negara membangun.
  • Sebelum 2026, Piala Dunia mengekalkan format 32 pasukan selama 28 tahun sejak 1998.

Presidennya, Gianni Infantino memaklumkan bahawa perbincangan rasmi mengenai penambahan slot itu akan dilakukan selepas tamatnya saingan Piala dunia 2026, yang ketika ini menggunakan format baharu 48 pasukan di tiga negara tuan rumah iaitu Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Meskipun keputusan menambah bilangan pasukan kepada 48 buah sebelum ini menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak, ia dilihat mula reda sejak saingan rasmi bermula pada 11 Jun lepas.

Infantino berkata penambahan pasukan adalah penting bagi memastikan ekosistem bola sepak yang inklusif, selain memberi insentif kepada negara-negara membangun untuk terus memperkasakan mutu sukan berkenaan.

Sebelum transformasi saingan kepada 48 pasukan tahun ini, saingan Piala Dunia mengekalkan format 32 pasukan selama 28 tahun sejak ia mula diperkenalkan pada edisi 1998.

Piala Dunia seterusnya pada tahun 2030 dijadualkan berlangsung di Maghribi, Portugal dan Sepanyol.

Sementara Arab Saudi dipilih sebagai tuan rumah untuk edisi 2034. – REUTERS