
DHAKA, 13 Julai- Sekurang-kurangnya 51 orang maut manakala puluhan lagi cedera dalam kejadian banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat yang melanda tenggara Bangladesh sejak minggu lepas, menurut kerajaan pada Ahad.
- Tujuh daripada 64 daerah ditenggelami, lebih sejuta penduduk terjejas dan ramai masih terputus hubungan.
- Cox’s Bazar teruk terjejas; kem pelarian Rohingya sesak, banyak rumah dan kawasan pertanian ditenggelami air.
- 38,422 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara selepas banjir dan tanah runtuh.
- Pusat ramalan menjangka hujan berterusan hingga pagi Selasa, menjejaskan timur laut Bangladesh serta Assam dan Meghalaya; Dhaka turut dilanda banjir.
Kawasan di tujuh daripada 64 daerah pentadbiran Bangladesh ditenggelami air apabila hujan lebat melanda rantau itu sejak Selasa, menjejaskan lebih sejuta penduduk, dengan ramai masih terputus hubungan, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Menurut kerajaan, sekurang-kurangnya 28 orang maut di daerah Cox’s Bazar, yang kebanyakannya etnik Rohingya yang tinggal di kem pelarian sesak.
Kementerian Pengurusan Bencana dan Bantuan berkata banjir serta tanah runtuh meragut 13 nyawa di Chattogram, enam di Bandarban, tiga di Rangamati dan seorang di Moulvibazar.
Tiada kematian dilaporkan di dua lagi daerah yang terjejas banjir, Habiganj dan Khagrachhari.
Kementerian turut melaporkan 39 orang cedera, manakala 38,422 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir menjangkakan hujan berterusan di timur laut Bangladesh serta negeri Assam dan Meghalaya di India hingga pagi Selasa.
Rakaman dari Cox’s Bazar menunjukkan banyak rumah dan kawasan pertanian ditenggelami air, dengan hanya bumbung zink kelihatan.
Penduduk turut dilihat meredah air sedalam paras dada sambil mengangkat barangan mereka.
Hujan lebat sepanjang malam turut menenggelamkan banyak kawasan di ibu negara Dhaka, menyebabkan kesesakan lalu lintas di seluruh bandar pada Ahad. -BERNAMA-dpa