Anggota RELA perlu kuasai kemahiran baharu, pengurusan bencana dan digital

Foto BERNAMA

SUNGAI UDANG, 12 Julai – Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) perlu diperkasakan dengan kemahiran baharu, termasuk pengurusan bencana secara sistematik, pertolongan cemas serta kefahaman dalam bidang digital bagi memastikan agensi itu terus relevan berdepan cabaran keselamatan semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuhkan RELA untuk meningkatkan nilai tambah sebagai aset strategik negara.
  • Landskap keselamatan semakin kompleks dengan jenayah rentas sempadan, ancaman digital dan perkembangan AI; RELA perlu tingkatkan kesiapsiagaan.
  • Kerajaan laksanakan inisiatif memperbaiki kebajikan dan memperluas latihan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan RELA.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, usaha memperlengkapkan anggota dengan kemahiran tersebut mampu meningkatkan nilai tambah RELA sebagai aset strategik negara.

Menurut beliau, landskap keselamatan kini semakin kompleks dengan kemunculan cabaran baharu seperti jenayah rentas sempadan, ancaman dalam ruang digital dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus menuntut anggota RELA meningkatkan keupayaan serta kesiapsiagaan mereka.

“Kita bukan hanya bersiap sedia untuk mendepani cabaran yang lalu, tetapi juga cabaran baharu seperti jenayah rentas sempadan, agenda digital dan sebagainya. RELA perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran yang turut dihadapi pelbagai agensi lain.

“Kita mahu anggota RELA berkeupayaan mendepani semua cabaran dengan melengkapkan diri termasuk dalam aspek kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan teknologi berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun RELA Ke-54 dan Karnival Jelajah Wira MADANI di Akademi Latihan RELA Malaysia, Sungai Udang, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh peranan RELA, termasuk menambah baik kebajikan anggota serta memperluas peluang latihan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan agensi keselamatan itu kepada negara.

Beliau berkata, sehingga kini RELA mempunyai kira-kira 149,000 anggota aktif di seluruh negara yang sentiasa bersedia membantu kerajaan dalam pelbagai aspek keselamatan, penguatkuasaan dan pengurusan bencana.