Perdagangan halal Malaysia-Indonesia dijangka cecah lebih AS$29 bilion pada 2026

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia ke Indonesia, Farzamie Sarkawi (tengah) melawat reruai MATRADE dan Pusat Pelancongan Islam Malaysia pada D-8 Halal Expo Indonesia 2026 di Tennis Indoor Senayan, Jakarta pada Jumaat/ Bernama

JAKARTA, 12 Julai- Perdagangan dua hala Malaysia-Indonesia dijangka meningkat 10 peratus kepada AS$29.3 bilion (AS$1 = RM4.07) pada tahun ini, disokong oleh kerjasama yang semakin meningkat dalam sektor halal selain akses pasaran lebih meluas antara kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama halal di bawah MoC 2023 menguatkan perdagangan, pelaburan dan pembangunan modal insan melalui pertukaran kepakaran serta latihan.
  • Pengiktirafan bersama pensijilan halal memudahkan pergerakan produk dan meningkatkan akses pasaran untuk perniagaan dua negara.
  • Segmen makanan halal kekal kukuh pada 2025; eksport Malaysia ke Indonesia naik 18.5% manakala import dari Indonesia naik 10.8%.
  • Indonesia terus bekalkan bahan mentah berasaskan minyak sawit menyokong industri pemprosesan halal Malaysia; D-8 Expo rai peluang pengembangan kerjasama serantau.

Kuasa Usaha Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Farzamie Sarkawi berkata unjuran pertumbuhan itu turut memaparkan pengukuhan kerjasama dua hala dalam sektor halal yang telah meningkatkan lagi kerjasama perdagangan, pelaburan dan pembangunan modal insan sepanjang tiga tahun lepas.

Beliau berkata kerjasama di bawah Memorandum Kerjasama (MoC) halal kedua-dua negara yang dimeterai pada 2023, turut mewujudkan peluang lebih besar bagi kedua-dua negara memperdalam kerjasama yang merentasi pelbagai sektor.

“Ini termasuk kerjasama perdagangan, pelaburan dan modal insan menerusi pertukaran kepakaran, latihan dan inisiatif lain,” katanya kepada Bernama.

Farzamie berkata sejak pelaksanaannya, kerjasama dua hala itu terbukti mencatat perkembangan positif dengan pengiktirafan bersama pensijilan halal antara Malaysia dan Indonesia yang memudahkan pergerakan produk selain meningkatkan akses pasaran bagi perniagaan di dua negara itu.

Sejajar dengan jumlah perdagangan mencecah AS$26.61 bilion pada 2025 atau peningkatan 5.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, beliau berkata prestasi kukuh perdagangan dua hala itu mencerminkan kemajuan positif kerjasama Malaysia-Indonesia serta menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan seterusnya pada tahun ini.

Bagi tempoh sepanjang 2025, beliau berkata perdagangan dalam segmen produk makanan dan minuman berkaitan halal juga terbukti kekal kukuh dengan eksport makanan diproses Malaysia ke Indonesia meningkat 18.5 peratus tahun ke tahun kepada AS$640 juta, didorong oleh serbuk koko, krimer bukan tenusu, susu isian, produk coklat serta penyediaan bahan perisa.

Selain itu, import makanan diproses Malaysia dari Indonesia meningkat 10.8 peratus pada 2025 kepada AS$840 juta, dipacu oleh produk seperti santan, pes koko, mi segera dan bihun.

Farzamie berkata Indonesia juga kekal sebagai pembekal utama bahan mentah dan ramuan berkaitan halal kepada Malaysia dengan import produk berasaskan minyak sawit yang mencecah AS$2.34 bilion manakala import minyak sawit serta produk pertanian berasaskan minyak sawit berjumlah AS$1.14 bilion dan menyokong industri pemprosesan makanan halal, ramuan, kosmetik dan penjagaan diri Malaysia.

Dalam pada itu, seiring dengan kehadiran negara anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Lapan Negara Membangun (D-8) pada acara Ekspo Halal D-8 Indonesia pada tahun ini, beliau berkata Malaysia berharap dapat memanfaatkan momentum kerjasama halal dengan Indonesia menerusi peningkatan kerjasama ke seluruh blok berkenaan.

Beliau berkata penyertaan Malaysia dalam acara lima hari itu yang berakhir pada Ahad, telah diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Tourism Malaysia dan bertujuan menghubungkan keupayaan halal negara dengan peluang dalam pasaran D-8.

“Ekspo itu menjadi platform pengukuhan kerjasama dalam perdagangan halal, pelaburan, jaringan perniagaan serta pembangunan rantaian nilai halal serantau dalam kalangan negara anggota D-8,” katanya.

Perdagangan dalam kalangan atau intra D-8 kini mencecah kira-kira AS$150 bilion hingga AS$160 bilion setahun dan blok berkenaan menyasarkan untuk meningkatkan angka berkenaan kepada AS$500 bilion menjelang 2030 menerusi kerjasama ekonomi lebih mendalam, termasuk menerusi pengukuhan integrasi industri halal, kata beliau. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.