
KUANTAN, 11 Julai – Seorang wanita cedera selepas dipercayai terjatuh ketika melakukan aktiviti pendakian di kawasan air terjun berhampiran menara tinjau, Bukit Pelindung, di sini, pagi tadi.
- Mangsa, Siti Rukshana Gulam Kham, 37, mengalami kecederaan kepala, tangan dan kaki.
- Kejadian dilaporkan kepada JBPM pada pukul 9.16 pagi dan pasukan segera dikejarkan.
- Enam anggota BBP Kuantan mendaki kira-kira lima kilometer untuk sampai ke lokasi mangsa.
- Mangsa diberi rawatan awal, diturunkan ke kaki bukit dan diserahkan kepada petugas KKM untuk rawatan lanjut.
Mangsa, Siti Rukshana Gulam Kham, 37, mengalami kecederaan di kepala, tangan dan kaki dalam kejadian yang dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 9.16 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Menurut beliau, pasukan penyelamat tiba di kaki Bukit Pelindung pada pukul 9.24 pagi sebelum mendaki kira-kira lima kilometer untuk sampai ke lokasi mangsa.
Sebaik tiba, mangsa diberikan rawatan awal sebelum dibawa turun ke kaki bukit dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.