
KUANTAN, 11 Julai – Empat penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan 13 kenderaan di Kilometer 246.4, Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) arah Kemaman, awal pagi tadi.
- Kereta dipandu lelaki berusia 25 sedang bergerak; sebuah motosikal merempuh bahagian belakang, menyebabkan penunggang jatuh dan rantaian pertembungan motosikal.
- Tiga mangsa maut di tempat kejadian: Che Mohd Sufian Che Ghani (40, Bachok), Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan (33, Paka), Mohd Aizat Husni (33, Jerteh).
- Seorang lagi mangsa, Muhammad Safawi Md Noh (24, Felda Neram 2), disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.
- Pemandu kereta tidak cedera; penumpang perempuan 13 tahun cedera tengkuk. Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan; polis kesan motosikal dan saksi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1:20 pagi itu, nahas melibatkan sebuah kereta dan 12 motosikal dengan lapan motosikal lain yang masih belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah dalam satu kenyataan berkata siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun sedang bergerak lurus di lorong kanan dari arah Kuantan menuju ke Kemaman sebelum sebuah motosikal merempuh bahagian belakang kereta berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terbabit terjatuh di lorong kanan, menyebabkan tiga lagi motosikal yang berada di belakang gagal mengelak lalu bertembung sesama sendiri di atas jalan,” jelasnya.
Tiga mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, dari Bachok, Kelantan; Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, dari Paka, Terengganu; dan Mohd Aizat Husni, 33, dari Jerteh, Terengganu.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Safawi Md Noh, 24, dari Felda Neram 2, Terengganu, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
“Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala seorang penumpang wanita berusia 13 tahun mengalami kecederaan di bahagian tengkuk dan sedang menerima rawatan di HTAA,” katanya.
Mayat keempat-empat mangsa dihantar ke HTAA untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.
Beliau berkata maklumat mengenai dua lagi motosikal belum diperoleh.
Polis turut mengesan lapan lagi motosikal yang dipercayai terbabit dalam kejadian serta saksi yang melihat kemalangan bagi membantu siasatan.