
KUALA LUMPUR, 10 Julai – Malaysia menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IBM Malaysia Sdn. Bhd. bagi memperkukuh pembangunan kecerdasan buatan (AI) berdaulat serta teknologi pengkomputeran kuantum negara.
- Kerjasama strategik mempercepat inovasi, memperkukuh keupayaan serta mempersiapkan negara menghadapi peluang dan cabaran teknologi termaju.
- Majlis pemeteraian disaksikan Perdana Menteri menzahirkan komitmen meneliti penubuhan Pusat Kecemerlangan Kuantum dan Kecerdasan Buatan Negara.
- NQAIC akan menjadi platform kolaboratif menghubungkan kerajaan, akademia, industri dan rakan strategik bagi penyelidikan, pembangunan keupayaan dan perkongsian ilmu.
- Fokus tertumpu kepada tiga bidang: pembangunan ekosistem, tadbir urus dan keselamatan dipercayai, serta pembangunan inovasi, keupayaan dan bakat.
Menurut kenyataan MCMC, kerjasama strategik itu bertujuan mempercepat inovasi, memperkukuh keupayaan negara serta mempersiapkan Malaysia menghadapi peluang dan cabaran teknologi termaju, di samping membangunkan ekosistem digital yang selamat, berdaya tahan dan selaras dengan kepentingan negara.
Majlis pemeteraian yang disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersempena Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Negara 2026 di Cyberjaya itu turut mencerminkan komitmen bersama untuk meneliti penubuhan Pusat Kecemerlangan Kuantum dan Kecerdasan Buatan Negara (NQAIC).
NQAIC bakal berperanan sebagai platform kolaboratif yang menghubungkan kerajaan, institusi akademik, industri dan rakan strategik bagi memudah cara perkongsian ilmu, pembangunan keupayaan, penyelidikan serta inovasi dalam bidang AI dan teknologi kuantum.
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pembangunan ekosistem; tadbir urus dan keselamatan yang dipercayai; serta pembangunan inovasi, keupayaan dan bakat menerusi perkongsian pengetahuan, penyelidikan dan kerjasama teknikal.
Melalui kerjasama strategik itu, NACSA, MCMC dan IBM akan memperkukuh keupayaan Malaysia dalam teknologi sempadan (frontier technologies), meningkatkan daya tahan digital negara serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau yang dipercayai dalam bidang Sovereign AI, inovasi kuantum dan infrastruktur digital yang selamat.