
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Skuad wushu kebangsaan terus mempamerkan taring di peringkat antarabangsa apabila pasukan wanita negara berjaya merangkul pingat emas dalam acara Duilian pada Kejohanan Piala Dunia Taolu IWUF ke-4 di Haikou, China.
- Lee Jia Rong, Pang Pui Yee dan Tan Cheong Min catat 9.660 mata dalam persembahan Duilian, memukau juri.
- Pasangan Itali Alessia Tartufoli dan Jasmine Chu kongsi markah sama namun peroleh perak; Lydia Sham dan Yeung Michelle wakil Hong Kong raih gangsa 9.653.
- Tan Cheong Min tambah gangsa Nandao dengan 9.220; Zhang Yaling menang acara itu, Wong Sam In raih perak.
Dalam hantaran di laman Facebook rasmi Majlis Sukan Negara (MSN), gandingan mantap Lee Jia Rong, Pang Pui Yee dan Tan Cheong Min mempamerkan aksi teknikal yang memukau untuk mencatatkan 9.660 mata sekali gus mengungguli carta podium.
Kejayaan tersebut menyaksikan mereka berjaya mengetepikan cabaran pasangan Itali, Alessia Tartufoli dan Jasmine Chu, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak meskipun berkongsi jumlah mata yang sama.
Pingat gangsa pula dimenangi wakil Hong Kong, Lydia Sham dan Yeung Michelle yang mengumpul 9.653 mata.
Dalam pada itu, jaguh wushu negara, Tan Cheong Min turut menambah koleksi pingat peribadinya apabila meraih gangsa dalam acara Nandao wanita selepas mencatatkan 9.220 mata.
Acara berkenaan dimenangi atlet tuan rumah, Zhang Yaling dengan catatan 9.783 mata, manakala pingat perak milik atlet Macau, Wong Sam In (9.446 mata).
Pencapaian memberangsangkan itu melengkapkan rentak kecemerlangan skuad negara selepas Cheong Min menyumbang emas dalam acara Nangun wanita semalam, selain pingat perak yang diraih oleh Pui Yee menerusi acara Qiangshu.