
KUALA LUMPUR, 9 JULAI – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat kali keempat untuk tahun ini.
- MPC menyatakan bahawa pendirian dasar monetari semasa wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
- BNM akan terus memantau perkembangan dan menilai imbangan risiko berkaitan prospek inflasi dan pertumbuhan domestik.
- Indikator global mencerminkan pertumbuhan berdaya tahan, disokong pengembangan teknologi dan pembaikan bekalan serta harga komoditi.
- Malaysia kekal berdaya tahan; pertumbuhan disokong permintaan dalam negeri, eksport kukuh, pelaburan awam dan swasta, unjuran 2026 sekitar empat hingga lima peratus.
OPR kekal pada paras semasa sejak Julai 2025 selepas bank pusat menurunkan kadar itu sebanyak 25 mata asas.
BNM dalam kenyataan memaklumkan, pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Menurut bank pusat, MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
”Penunjuk terkini mencerminkan pertumbuhan global yang berdaya tahan secara keseluruhan, disokong oleh pengembangan teknologi yang kukuh serta
keadaan bekalan dan harga komoditi utama yang bertambah baik.
”Pada masa hadapan, keadaan konflik di Asia Barat yang terus mereda akan menambah baik lagi keadaan rantaian bekalan global,” jelas BNM.
Tambah bank pusat itu, risiko pertumbuhan global yang perlahan masih wujud, berpunca daripada ketidaktentuan yang berterusan susulan konflik, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan.
Sementara itu, potensi pertumbuhan menjadi pesat didorong oleh pemulihan keadaan rantaian bekalan yang lebih cepat daripada jangkaan, perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh dan langkah-langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju.
Bagi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan yang berdaya tahan pada suku kedua, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan prestasi eksport yang lebih kukuh daripada jangkaan.
”Konflik Asia Barat yang masih tidak menentu boleh mempengaruhi prospek inflasi dan pertumbuhan domestik.
”Namun, asas-asas Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara bagi menghadapi kejutan luaran. Guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah,” kata BNM.
Ujar BNM, aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek beberapa tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan.
Sektor luaran akan terus meningkat disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang bertambah baik dan permintaan yang mantap terhadap elektrik dan elektronik (E&E).
Pemulihan dalam eksport bukan E&E dan perbelanjaan pelancong yang berterusan akan memberikan sokongan tambahan.
”Oleh itu, unjuran pertumbuhan bagi tahun 2026 dijangka berada kukuh dalam julat antara empat peratus hingga lima peratus.
”Prospek pertumbuhan ini kekal bergantung pada risiko pertumbuhan perlahan berikutan krisis Asia Barat yang berlarutan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah.
”Potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada prospek pertumbuhan global yang lebih baik berikutan konflik yang mereda, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat,” katanya.