Malaysia, Thailand teruskan Zon Ekonomi Khas Sempadan

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Thailand, Anutin Charnvirakul sebelum menyampaikan kenyataan bersama di Bangunan Perdana Putra / BERNAMA

PUTRAJAYA, 9 Julai– Malaysia dan Thailand bersetuju meneruskan pembangunan Zon Ekonomi Khas Sempadan bagi memudah cara urusan imigresen dan kastam antara kedua-dua negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komitmen mencapai sasaran perdagangan dua hala USD30 bilion menjelang 2027; menteri luar dan perdagangan perlu beri tumpuan khusus.
  • Malaysia kekal rakan dagang terbesar Thailand dalam ASEAN, mencerminkan kekuatan hubungan ekonomi kedua negara.
  • Nilai perdagangan kira-kira USD28 bilion; Jawatankuasa Perdagangan Bersama akan bermesyuarat untuk menetapkan sasaran lebih tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Anutin Charnvirakul sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia.

Menurut Datuk Seri Anwar, dalam pertemuan sama, kedua-dua negara turut menyatakan komitmen mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak USD30 bilion menjelang 2027.

“Kita perlu bekerja lebih keras untuk mencapainya dan saya berpendapat
kedua-dua Menteri Luar serta Menteri Perdagangan dan Industri perlu memberi
tumpuan khusus kepada perkara ini.

Ini kerana hubungan persahabatan yang
kukuh serta kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk pelancongan, perlu
bermula daripada asas yang paling penting iaitu ekonomi dan perdagangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand ke Malaysia.

Sementara itu, Anutin berkata, Malaysia kekal sebagai rakan dagang terbesar Thailand dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Ia sekali gus mencerminkan kekuatan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

“Nilai perdagangan dua hala antara kedua-dua negara kini telah mencecah kira-kira USD28 bilion.

Kami yakin sasaran USD30 bilion akan dapat dicapai dalam masa terdekat hasil kerjasama erat yang sedang dilaksanakan ketika ini,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua negara juga akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama bagi menetapkan sasaran perdagangan yang lebih tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.