
BENTONG, 9 Julai– Sebuah rumah separuh kekal di Felda Sungai Kemahal, Triang musnah hampir keseluruhannya dalam kebakaran pagi tadi.
- Tiada mangsa dilaporkan cedera kerana semua penghuni rumah keluar bekerja ketika kejadian.
- Kebakaran disedari orang awam; panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.39 pagi dan tujuh anggota BBP Karak dikerahkan.
- Rumah berukuran 20 x 40 kaki musnah kira-kira 95 peratus; operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos, satu breeching dan dua nozel selesai.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera kerana semua penghuni rumah keluar bekerja ketika kejadian.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kebakaran disedari orang awam sebelum pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.39 pagi.
“Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.
Operasi turut dibantu tujuh anggota dari BBP Triang,” katanya.
Tambah beliau, bomba memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos, satu ‘breeching’ dan dua nozel dengan sumber air daripada pili bomba.
“Rumah berkeluasan 20 x 40 kaki itu musnah kira-kira 95 peratus, manakala operasi pemadaman dan kerja-kerja overhaul berjaya diselesaikan sepenuhnya,” ujarnya lagi.