Projek rintis teknologi pembungkusan termaju perkukuh industri semikonduktor negara

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang.

KUALA LUMPUR, 9 JULAI – Projek pembangunan teknologi pembungkusan termaju akan dilaksanakan sebagai projek perintis selama dua tahun sebelum dikomersialkan bagi memperkukuh daya saing industri semikonduktor negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembiayaan RM185 juta melalui MSE dilaksanakan oleh MAPC melibatkan lima syarikat tempatan dan institusi penyelidikan.
  • Menyasarkan pembangunan teknologi dari TRL5 ke TRL9 supaya inovasi dapat dimasukkan ke pasaran dan diserahkan kepada industri untuk komersialisasi.
  • MSE mempercepatkan proses daripada R&D ke tahap komersial, manakala sektor swasta dijangka mencari dana pelaburan tambahan.
  • Inisiatif menyokong sasaran penguasaan tujuh peratus pasaran global pembungkusan termaju, menarik pelaburan, membangunkan bakat dan mengukuhkan rantaian bekalan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, projek bernilai RM185 juta melalui Malaysia Science Endowment (MSE) itu dilaksanakan Malaysia Advanced Packaging Consortium (MAPC) yang menghimpunkan lima syarikat tempatan bersama institusi penyelidikan.

“Kita cuba membangunkan kapasiti syarikat-syarikat tempatan untuk menjalankan aktiviti Advanced Packaging sekarang dari Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) 5 sampai ke TRL9.

“Jadi apabila sampai ke TRL9, maksudnya teknologi kita bolehlah masuk ke dalam pasaran. Selepas itu, kita akan serahkan sepenuhnya kepada pihak industri di mana pihak industri mereka perlu mencari pelanggan dan dana sendiri,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menyatakannya bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berhubung status pelaksanaan inisiatif pembungkusan termaju di bawah MSE dan peranan MAPC dalam memperkukuh ekosistem industri semikonduktor negara.

Mengulas lanjut beliau berkata, MSE berperanan untuk mempercepatkan proses bermula dari peringkat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) sehingga ke peringkat komersial.

“Dan selepas itu, saya rasa kalau perlu dana yang lain, pihak swasta kena cari dari mungkin dana pelaburan swasta ataupun institusi seperti Khazanah Jelawang Capital dan lain-lain. Jadi selepas itu kita serahkan pada mereka supaya industri tidak terlalu bergantung pada dana kerajaan sahaja,” katanya.

Menurut Datuk Chang, inisiatif itu sekali gus menyokong sasaran Malaysia untuk menguasai tujuh peratus pasaran global pembungkusan termaju, selain menarik pelaburan, membangunkan bakat dan mengukuhkan rantaian bekalan semikonduktor negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.