
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kerajaan mengambil langkah intervensi perundangan lebih tuntas bagi menangani isu salah guna petak parkir Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh negara.
- Kementerian Perumahan dan Kementerian Pengangkutan menggubal garis panduan serta undang-undang kecil mengawal selia tempat letak kenderaan khas OKU.
- MNKT meluluskan inisiatif pada 20 Ogos 2025 untuk menyeragamkan punca kuasa PBT bagi memperkukuh penguatkuasaan.
- Penguatkuasaan akan lebih agresif, tegas dan holistik termasuk kompaun maksimum serta penundaan kenderaan secara mandatori.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu menegaskan, kementerian itu dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan telah menggubal garis panduan dan undang-undang kecil bagi mengawalselia tempat letak kenderaan khas OKU.
Menurutnya, inisiatif itu telah mendapat kelulusan di peringkat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) pada 20 Ogos 2025.
Ia bertujuan menyeragamkan punca kuasa di peringkat seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dijalankan secara lebih agresif dan tegas.
“Rentetan itu juga penguatkuasaan akan menjadi lebih agresif, lebih tegas dan holistik merangkumi tindakan kompaun maksimum serta penundaan kenderaan secara mandatori.
“Perubahan struktur perundangan ini mencerminkan tekad politik dengan izin kerajaan untuk memastikan keadilan sosial ditegakkan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2024 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat hari ini.