YWM jalin kerjasama strategik dengan Oman bangunkan sektor wakaf

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Marhamah Rosli (kiri), menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Wakaf antara Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dengan Sohar Islamic / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Kepakaran Malaysia dalam pembangunan dan tadbir urus wakaf terus mendapat pengiktirafan apabila Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Kesultanan Oman bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan inisiatif wakaf berimpak tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • MoU membuka kerjasama jangka panjang dalam tadbir urus wakaf, pembangunan dan pelaburan aset wakaf, penyelidikan, latihan dan pembangunan filantropi Islam.
  • Perjanjian ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif YWM bersama wakil Sohar Islamic dan Boushar Endowment, serta disaksikan wakil kerajaan Malaysia dan Oman.
  • Dr Ridzuan dilantik Penasihat Pembangunan Wakaf Oman, langkah yang dijangka memperkukuh kerjasama dan manfaat untuk komuniti kedua-dua negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, kerjasama itu membuktikan kepakaran Malaysia dalam sektor wakaf kini diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Kita mendapat kepercayaan apabila kepakaran Malaysia diiktiraf di luar negara. Selalunya kita mendengar kepakaran luar dibawa ke Malaysia, tetapi kali ini kita memperkenalkan dan mereka mengiktiraf kepakaran Malaysia dalam sektor wakaf untuk dibawa ke negara mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian MoU di sini, hari ini.

MoU itu membuka ruang kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak, khususnya dalam tadbir urus wakaf, pembangunan dan pelaburan aset wakaf, penyelidikan, latihan serta pembangunan filantropi Islam.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Dr. Ridzuan Bakar, bersama Ketua Bahagian Pembiayaan Islam Sohar Islamic, Fahad Akbar Al Zadjali, dan Pengerusi Boushar Endowment Foundation, Malik Hilal Al Yahmadi.

Majlis itu disaksikan oleh Marhamah Rosli dan Timbalan Ketua Misi Kesultanan Oman di Malaysia, Mohamed Najeeb Al Bulushi.

Sementara itu, Dr. Ridzuan turut dilantik sebagai Penasihat Pembangunan Wakaf Oman sebagai pengiktirafan terhadap kepakaran dan pengalaman beliau dalam pentadbiran institusi wakaf.

Pelantikan itu dijangka memperkukuh lagi kerjasama antara Malaysia dan Oman dalam membangunkan ekosistem wakaf yang lebih mampan serta memberi manfaat kepada masyarakat di kedua-dua negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.