Penggubalan dasar perlu disokong dengan penyelidikan – KPT

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr Zainal Amin Ayub, pada majlis pelancaran Asian Institute of Policy and Engagement, AIPE di University of Nottingham Malaysia (UNM) / Foto RTM

PETALING JAYA, 7 Julai – Penggubalan dasar negara tidak boleh bergantung kepada pembuat dasar semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh penyelidikan yang kukuh, berasaskan bukti dan mengambil kira realiti semasa, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hubungan erat antara akademia dan kerajaan kini satu keperluan untuk memastikan dasar memberi impak sebenar kepada negara dan rakyat.
  • Penyelidikan mesti diterjemah ke dalam dasar; hasil yang tersimpan dalam jurnal memberi manfaat terhad dan dasar tanpa bukti berisiko gagal.
  • AIPE berpotensi menghubungkan penyelidik, pembuat dasar, industri dan masyarakat serta selaras dengan RPTM 2026-2035 memperkukuh peranan universiti.

Beliau berkata, hubungan erat antara akademia dan kerajaan kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan bagi memastikan setiap dasar yang digubal memberi impak sebenar kepada negara dan rakyat.

Perkara itu dinyatakan dalam teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr Zainal Amin Ayub, pada majlis pelancaran Institut Dasar dan Penglibatan Asia (Asian Institute of Policy and Engagement, AIPE) di University of Nottingham Malaysia (UNM), di sini, hari ini.

“Apabila penyelidikan hanya tersimpan di dalam jurnal, manfaatnya menjadi terhad. Sebaliknya, dasar yang digubal tanpa bukti yang mencukupi berisiko gagal. Sebab itu, hubungan erat antara akademia dan kerajaan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan,” katanya.

Menurut beliau, dunia kini berdepan pelbagai cabaran seperti tekanan fiskal, konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan peralihan kepada ekonomi hijau.

Katanya, Asia dan Asia Tenggara berada di barisan hadapan perubahan itu, menjadikan setiap keputusan dasar yang dibuat hari ini penting dalam menentukan kesejahteraan rakyat pada masa depan.

Beliau berkata, AIPE berpotensi menjadi platform yang menghubungkan penyelidik, pembuat dasar, industri dan masyarakat supaya hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada dasar yang memberi manfaat kepada negara.

Katanya, usaha itu selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang memperkukuh peranan universiti sebagai pusat penghasilan ilmu dan rakan strategik kepada kerajaan dalam pembangunan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.