
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Jaguh renang negara, Khiew Hoe Yean tekad memberikan aksi terbaik pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini, biarpun sasaran utama terarah kepada Sukan Asia Aichi-Nagoya September depan.
- Persiapan berjalan mengikut perancangan untuk mencapai prestasi terbaik pada kemuncak musim.
- Komanwel dijadikan pentas ujian dan untuk membina momentum menjelang cabaran lebih besar.
- Hoe Yean akan bertanding dalam lima acara: 400m, 800m, 1,500m, 4x100m dan 4x200m gaya bebas.
- Penyesuaian bersama jurulatih baharu Michael Kinross berjalan lancar dan memberi suntikan positif kepada pasukan.
Perenang berusia 24 tahun itu berkata, persiapan yang dirangka ketika ini berjalan mengikut perancangan bagi memastikan prestasi terbaik dapat dicapai pada kemuncak musim.
Menurut Hoe Yean, Sukan Komanwel tetap menjadi pentas penting untuk skuad renang kebangsaan menguji kemampuan selain membina momentum sebelum menghadapi cabaran lebih besar di Sukan Asia.
“Bagi kami, sasaran utama adalah Sukan Asia. Sukan Komanwel juga kejohanan penting, tetapi perancangan kami adalah untuk mencapai kemuncak prestasi di Sukan Asia.
“Namun begitu, kami tetap mahu berenang dengan baik di Sukan Komanwel kerana ia menjadi sebahagian daripada persiapan kami,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ketua kontinjen (CDM) ke Sukan Komanwel 2026 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Hoe Yean bakal menggalas cabaran negara dalam lima acara di Glasgow, membabitkan 400 meter (m) gaya bebas, 800m gaya bebas, 1,500m gaya bebas serta dua acara berganti-ganti iaitu 4x100m dan 4x200m gaya bebas.
Dalam perkembangan sama, Hoe Yean menyifatkan proses penyesuaian bersama ketua jurulatih baharu dari Amerika Syarikat, Michael Kinross, berjalan lancar dan memberi suntikan positif kepada pasukan.
Katanya, kehadiran Kinross sejak saingan Jelajah Renang Mare Nostrum pada Mei lalu membantu atlet memahami pendekatan latihan baharu serta memperkemas persediaan menghadapi kejohanan penting tahun ini.
“Setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Kami sedang menyesuaikan diri dengan jurulatih baharu dan saya rasa persiapan bukan sahaja baik untuk saya, tetapi juga seluruh pasukan.
“Kami semua teruja dan tidak sabar untuk menghadapi Sukan Komanwel sebelum memberikan tumpuan penuh kepada Sukan Asia 2026,” katanya.
Hoe Yean sebelum ini menjadi antara sandaran utama renang negara selepas mencipta rekod kebangsaan dalam acara jarak jauh gaya bebas dan terus memburu peningkatan prestasi di pentas antarabangsa.