Kontinjen kecil, misi besar Malaysia di Glasgow 2026

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Seramai 59 atlet negara bersama 22 atlet para bakal menggalas cabaran Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kontinjen lebih kecil namun fokus pada kualiti, persediaan dan kemampuan atlet untuk bersaing di pentas antarabangsa.
  • Ketua kontinjen optimis selepas lawatan kem latihan; atlet sihat, bersemangat dan latihan berjalan lancar.
  • Tuan rumah menggugurkan beberapa sukan, jadi Malaysia fokus pada acara berpotensi tinggi bagi mengumpul pingat.

Meskipun tampil dengan jumlah kontinjen yang lebih kecil berbanding edisi terdahulu, Malaysia tetap meletakkan harapan tinggi terhadap kualiti, persediaan dan kemampuan atlet dalam usaha mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, Datuk Awalan Abdul Aziz optimis barisan atlet yang dipilih mampu memberikan saingan terbaik berdasarkan pemantauan rapi yang dilakukan sepanjang persiapan.

Beliau berkata, hasil lawatan ke beberapa kem latihan baru-baru ini mendapati persiapan atlet berada pada landasan positif, selain tahap kesihatan dan semangat juang mereka berada pada tahap yang baik.

“Hari ini saya berpeluang membuat lawatan ke kem latihan di tiga lokasi iaitu sukan renang, gimnastik dan para olahraga.

“Alhamdulillah, program latihan sebagai persiapan ke Glasgow berjalan lancar. Atlet kita berada dalam keadaan sihat dan mempunyai semangat juang yang tinggi.

“Insya-Allah, mereka akan ke sana dengan misi membawa pulang kejayaan buat negara,” katanya selepas mengadakan lawatan ke venue latihan atlet di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Mengulas mengenai saiz kontinjen yang lebih kecil, Datuk Awalan menjelaskan ia susulan keputusan tuan rumah yang hanya mempertandingkan 10 jenis sukan dan enam acara para selepas beberapa sukan digugurkan daripada kalendar temasya.

Menurutnya, keadaan itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap peluang Malaysia untuk mengutip lebih banyak pingat, namun fokus kini diberikan kepada acara yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk menyumbang kejayaan.

“Dari segi sasaran spesifik, kita akan bincangkan kemudian. Namun, saya mengharapkan setiap atlet memberikan persembahan terbaik mereka,” katanya.

Sukan Komanwel Glasgow 2026 bakal mempertandingkan acara olahraga dan para olahraga, renang dan para renang, berbasikal trek dan para berbasikal trek, angkat berat dan para powerlifting, boling padang dan boling padang para, bola keranjang 3×3 serta bola keranjang kerusi roda 3×3, gimnastik artistik, bola jaring, tinju dan judo.

Pada edisi Birmingham 2022, Malaysia berjaya meraih tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.